ORANG Seletar merupakan satu daripada 18 suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia. Mereka tergolong dalam kumpulan Melayu Proto iaitu satu daripada tiga kumpulan utama kaum Orang Asli.
Mereka bertutur bahasa Orang Seletar dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Suatu ketika dahulu, Orang Seletar ialah sebahagian daripada kaum Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang serta hidup secara nomad di permukaan laut, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai.
Bagaimanapun, kini mereka sudah tinggal di kawasan darat Semenanjung Malaysia serta memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri terutamanya di sepanjang persisiran Selat Johor atau Selat Tebrau.
Masyarakat ini boleh dilihat di sekitar Johor Bahru dan terdapat pasar yang menghimpunkan peniaga dalam kalangan mereka yang menjual pelbagai hasil laut.
Menurut Tok Batin masyarakat tersebut, Hisham Kalan, 50, yang juga peniaga di pasar itu, meskipun Orang Seletar pada asalnya ialah sebahagian daripada kaum Orang Laut, namun kini Kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku mereka sebagai sebahagian kaum Orang Asli.
Hisham berkata, secara tradisinya, Orang Seletar bergantung kepada hasil laut.
“Sebelum ada pembangunan, kehidupan kami berpindah-randah dan bina penempatan yang dapat mendatangkan hasil pendapatan kepada kami sebagai nelayan.
“Perubahan seiring dengan pembangunan pesat bandar raya Johor Bahru, kerajaan telah mengambil inisiatif membina penempatan yang lebih teratur dan tersusun kepada kami,” katanya ketika ditemui Panorama.
Jelas Hisham, mereka kini tinggal di kawasan penempatan yang lebih teratur di selatan negeri Johor seperti Kampung Bakar Batu, Kuala Masai, Taman Rinting, Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang, Johor Bahru.
Ujarnya, kebanyakan masyarakat ini mengamalkan kepercayaan animisme, namun ada antara mereka telah menganut agama Islam dan Kristian.
“Sebahagian daripada masyarakat kami hidup sebagai nelayan dan bergantung kepada hasil laut. Kalau dahulu kami menggunakan peralatan tradisional, sekarang agak moden guna bot yang ada enjin, jala, pukat dan lain-lain alat moden,” katanya.
Tambah Hisham, hasil tangkapan dijual terus kepada pengguna di Tapak Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu, Permas Jaya, Johor Bahru.
Pelbagai hidupan laut ditawarkan di pasar tersebut meliputi pelbagai jenis ikan, udang, sotong, ketam dan bermacam-macam hidupan bercangkerang.
Menyorot sejarah, Hisham berkata, sebelum ini, hasil tangkapan laut mereka dijual terus di persisiran pantai Stulang Laut, Johor Bahru.
Namun, setelah pembangunan pesat, pihak kerajaan memindahkan mereka ke tapak khas itu pada tahun 2018 yang terletak di tepi Sungai Plentong, Bakar Batu, Permas Jaya.

Alasan mereka dipindahkan adalah kerana tidak mahu merencatkan pemandangan Pantai Lido yang indah selain tidak mengganggu pelancong menikmati keindahan alam.
“Jadi, kami dipindahkan di kawasan baharu ini dan sehingga kini terdapat lebih 35 peniaga terdiri daripada Orang Asli Seletar.
“Kami menawarkan pelbagai sumber laut dari ikan jenis harga premium sehinggalah harga marhaen.
“Ada yang jual ikan siakap, kerapu, merah, tenggiri, sotong, pelbagai jenis hidupan cangkerang seperti tiram, kerang, siput dan lain-lain,” katanya.
Hisham berkata, antara tarikan di situ ialah harga yang dijual lebih murah berbanding dijual di pasar-pasar basah di kawasan sekitar.
“Harga yang kami tawarkan adalah sangat murah dengan ada serendah RM5 sehingga RM60 sekilogram mengikut jenis tangkapan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Siti Nurtasha Raman, 20, berkata, dia sudah lebih 10 tahun berniaga membantu keluarganya menjual pelbagai jenis ikan dan hasil marin yang lain.
Katanya, keluarganya merupakan keluarga nelayan yang mana adik-beradik serta ibu bapanya turun ke laut menangkap ikan.
“Biasanya bagi kaum lelaki dalam keluarga akan turun ke laut mencari tangkapan dan kami wanita pula menjual hasil laut di sini.
“Hasil tangkapan pula kami jual terus, dapat sahaja tangkapan akan terus dibawa ke sini untuk dijual, kami jual dengan harga berpatutan dan segar,” katanya.
Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu mula beroperasi seawal pukul 7 pagi dan ditutup sehingga tengah hari bergantung kepada bekalan dan dibuka sepanjang hari.
Siti Nurtasha berkata, pada hari Isnin hingga Khamis, hanya separuh peniaga yang membuka gerai kerana tidak ramai pelanggan yang datang.
Sementara pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad kesemua peniaga akan membuka gerai masing-masing kerana kedatangan pelanggan lebih ramai.
Ujarnya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan, malah turut dikunjungi warga negara Singapura untuk mendapatkan hidupan laut segar.














