BARU-BARU ini, penulis sempat membaca satu pengakuan daripada seorang pembaca Kosmo! mengenai graduan cemerlang yang gagal dalam dunia pekerjaan.
Menurutnya, dia merupakan seorang pelajar bijak di sekolah dan dapat menamatkan pengajian di universiti dengan keputusan yang baik.
Bagaimanapun, lelaki tersebut gagal dalam dunia pekerjaan setelah tidak berjaya mendapat kerja yang bersesuaian dengan tahap pendidikannya.
Akhirnya, dia hanya dapat bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dan terpaksa makan hati melihat kejayaan kawan-kawannya yang lain yang dahulunya tidak pandai, namun berjaya memperoleh gaji yang jauh lebih besar.
Selang beberapa hari kemudian, penulis terbaca pula satu pengakuan yang dilakukan secara anonymous di platform NGL (notgonnalie) milik pempengaruh media sosial di aplikasi X, meinmokhtar.
Dalam pengakuan itu, individu tersebut meluahkan rasa kecewa setelah ibunya menghantar tangkap layar berita yang sama kepadanya.
Tindakan tersebut menyebabkan individu itu berasa kecil hati kerana ibunya sendiri beranggapan dia gagal dalam dunia pekerjaan walaupun mendapat keputusan 10 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Benar, keputusan saya cemerlang dalam SPM, tetapi itu 10 tahun lalu. Sekarang, gaji saya cuma RM2,500 sahaja. Mohon doakan mental saya terus kuat,” katanya.
Setelah membaca pengakuan-pengakuan ini di media sosial, di manakah salahnya sehingga pelajar-pelajar yang dahulunya cemerlang kini terpaksa berpuas hati dengan pekerjaan bergaji rendah?
Lebih mengecewakan, kedua-dua individu ini juga terpaksa berhadapan dengan tekanan daripada orang sekeliling, terutamanya daripada keluarga sendiri.
Menurut Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh, pencapaian akademik bukanlah satu-satunya kayu ukur kejayaan seseorang dalam dunia pekerjaan.
Beliau berkata, penyumbang terbesar adalah dari segi kecerdasan emosi dan juga kekuatan mental seseorang.
Selain itu, ia bergantung juga kepada kemahiran serta personaliti individu tersebut.
“Kadangkala, kita boleh perhatikan, individu yang dahulunya dapat 10 A atau bijak di bangku sekolah ini kekuatannya hanyalah dalam bidang akademik semata-mata.
“Bagaimanapun, mereka ini tidak ada kekuatan dari segi mental dan tidak dilengkapi pula dengan ‘soft skills’ yang diperlukan dalam pekerjaan masa kini.
“Akhirnya, mereka dikatakan tidak mencapai pekerjaan yang setaraf dengan kejayaan akademik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hushim juga menekankan, individu yang mempunyai ketahanan mental selalunya lebih sukar menyerah kalah dan tidak takut untuk mencuba.
“Zaman sekarang memang zaman yang mencabar. Ada orang yang tidak berjaya dalam akademik tetapi dalam dunia pekerjaan, dia tidak pernah menyerah kalah.
“Selagi tidak berjaya, selagi itu jugalah dia tidak berhenti mencuba. Orang beginilah yang selalunya cemerlang dalam bidang yang diceburi kerana dia mempunyai semangat dan motivasi diri yang tinggi,” ulasnya.
Menurut Hushim, orang yang berjaya selalunya tidak takut untuk keluar daripada zon selesa dan sentiasa mencuba untuk menambah nilai diri.
“Kalau hendak berjaya, kita kena belajar bagaimana untuk tingkatkan keyakinan diri. Kenal pasti dahulu kekuatan kita di mana.
“Gabung jalin antara semua elemen inilah yang membentuk seorang insan berjaya, bukannya keputusan SPM semata-mata,” jelasnya.














