fbpx
KESAN pencerobohan gajah liar yang menyebabkan penduduk menanggung kerugian di Lorong Hikmah 10, Kampung Lukut, Kota Tinggi baru-baru ini.

Dulu teruja tengok gajah, sekarang menggigil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Jika dahulu penduduk teruja melihat gajah memasuki kawasan kampung, namun kini perasaan itu bertukar takut ekoran tindakan agresif haiwan itu sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kerugian.

Penduduk Kampung Lukut, Banon Mohamad Yusof, 66, berkata, kekerapan kehadiran gajah liar sehingga tiga kali se­minggu ke kampung itu amat membimbangkan penduduk.

Katanya, haiwan tersebut ha­dir secara segerombolan sekitar lapan ekor dan menyasarkan Lorong Hikmah 10 kampung lokasi kawasan itu yang berada berdekatan hutan.

Menurutnya, dalam kejadian terbaharu, gajah liar itu menceroboh kawasan kampung pada minggu lalu yang mana inap desa dan nurseri yang diusahakannya rosak sehingga menyebabkan kerugian RM3,000.

“Gajah yang datang bukan seekor dua, tetapi banyak bersama anak cucu, bahkan tingginya mencecah sehingga atap rumah. Habis pasu bunga, papan tanda dan kawasan sekitar inap desa rosak.

“Bila hendak mengemas kerosakan itu memang kami tidak larat, jadi terpaksa upah orang jadi perlu keluarkan duit juga. Ba­yangkan jika sampai tiga kali seminggu gajah-gajah ini masuk ke kampung, kami memang tidak tahan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelasnya, kehadiran haiwan liar itu juga boleh mengganggu gugat ekonomi inap desa kerana pernah juga dia terpaksa me­mindahkan pe­langgan ke tempat lain kerana bimbang akan ke­selamatan dan keselesaan mereka.

Banon berkata, ekoran itu dia turut membuat laporan di Balai Polis Batu Ampat berhubung ke­rugian yang ditanggung.

“Beberapa jiran lain turut mengalami kerugian selepas tanaman seperti pokok pinang, kelapa, pisang yang dijadikan sebagai sumber pendapatan sam­pingan habis dirosakkan gajah tersebut.

“Kawanan gajah tersebut turut menjadikan tanah yang belum diusahakan di kawasan itu sebagai lokasi ‘transit’ menyorok di dalam semak-samun yang ada sebelum kembali ke hutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Lukut, Amran Saari berkata, kerajaan diharap dapat memberikan keutamaan bajet dalam usaha mengekang isu pencerobohan haiwan tersebut.
“Ia perlu dilakukan secara serius de­ngan mengambil langkah-langkah proaktif agar penduduk tidak berrasa terancam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN