fbpx
Antara bot pancung yang digunakan sindiket untuk mengangkut PATI.

5,000 PATI ‘tunggu masa’ masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Lebih 5,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Indonesia dipercayai akan menyelinap masuk semula ke negara ini selepas pulang beraya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing pada bulan lalu.

Warga asing terbabit dikatakan akan menggunakan khidmat sindiket yang sama menyediakan servis perjalanan ketika pulang ke kampung sebelum ini melalui lorong tikus di sepanjang perairan negara khususnya di negeri Johor.

Kosmo! difahamkan lebih 20 laluan tidak diwartakan dikesan menjadi lokasi pendaratan serta laluan keluar PATI sama ada untuk pulang atau memasuki negara ini.

Mendedahkan kegiatan haram itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, antara lokasi hotspot yang sering digunakan sindiket penyeludupan manusia ialah sepanjang pantai perairan Kota Tinggi sehingga ke Mersing.

Katanya, ini kerana di lokasi tersebut pantainya cetek dan landai, sekali gus memudahkan untuk bot yang digunakan sindiket merapat ke kawasan darat.

“PATI yang berjaya melolos­kan diri melalui laluan haram kemungkinan akan kembali ke negara ini dengan menggunakan kaedah sama iaitu menggunakan perkhidmatan haram.

“Ada kemungkinan mereka sudah tempah atau set masa ter­tentu untuk kembali ke negara ini. Mereka juga mungkin telah membayar perkhidmatan dua hala, nak tak nak mereka akan kembali ke negara ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Perairan Kota Tinggi, Johor antara laluan tikus yang sering digunakan sindiket untuk membawa masuk atau keluar PATI kerana kawasan pantai yang cetek.

Baharuddin memberitahu, sektor pembinaan dan perlada­ngan masih memerlukan tenaga kerja yang ramai di negara ini dan permintaan tinggi tenaga buruh mendorong PATI untuk kembali mencari rezeki di Malaysia.

Bagi mengekang kemasukan semula PATI terbabit, Baharuddin memberitahu, Jabatan Imigresen Malaysia khasnya JIM Johor kini memperkasa operasi dan pemantauan di kawasan pintu masuk terutama di lokasi-lokasi yang disyaki.

“Memang terdapat beberapa lokasi disyaki digunakan sebagai pendaratan PATI sekitar pesisir pantai Johor. Bagi transit PATI pula, sukar untuk dikesan kerana modus operandi sindiket yang sering berubah lokasi,” ujarnya.

Selain itu, pihaknya turut be­kerjasama dengan Pasukan Polis Marin, Maritim Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai aset untuk mengesan keberadaan PATI terbabit.

Kata beliau, pihaknya juga akan memperketatkan di laluan yang diwartakan ke negara ini termasuk lapangan terbang dan jeti bagi mengekang aktiviti penyeludupan manusia ini.

“Memang ada kes sebelum ini, pihak berkuasa bersekongkol dengan sindiket untuk menguruskan perjalanan masuk atau keluar PATI dari negara ini menggunakan laluan sah.

“Mereka (penguat kuasa) disogok dengan bayaran tertentu untuk ‘melepaskan’ PATI daripada dikenakan tindakan,” ujarnya.

Pada 4 April lalu, Kosmo! melaporkan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, kira-kira 10,000 PATI warga Indonesia dijangka keluar melalui lebih 20 laluan tikus di negeri ini untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Kumpulan PATI itu sanggup mengeluarkan belanja RM1,500 hingga RM3,000 seorang bagi perjalanan sehala pulang ke Indonesia yang diuruskan sindiket penyeludupan migran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN