HULU TERENGGANU – Penduduk yang mengusahakan tanaman pelbagai jenis sayur di Kampung Padang Setebu di sini, mula dihimpit kebimbangan apabila dua kolam yang menjadi sumber air bagi kebun mereka hampir kering.
Abdul Aziz Abd Rahim, 52, berkata, dua kolam tersebut digunakan untuk keperluan air bagi kebun sayur-sayuran seluas 0.8 hektar yang diusahakan bersama dua adiknya, Mohd. Razali, 45, dan Mohd. Ridhwan, 39, sejak setahun lalu.
“Setiap kolam adalah sedalam tiga meter bagi kegunaan tanaman timun, kacang panjang, terung, cili api dan bendi.
“Bagaimanapun, dua kolam berkenaan hampir kering sejak seminggu lalu berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kebun sayurnya di Kampung Padang Setebu semalam.
Abdul Aziz berkata, sebagai alternatif, dia terpaksa mendapatkan sumber air dari alur Sungai Tersat yang terletak kira-kira 400 meter dari kebun mereka.
Jelas beliau, tindakan itu menyebabkan dia perlu membelanjakan kira-kira RM1,000 bagi memasang paip bagi penyaluran air ke kebun sayurnya dari sungai berkenaan.
“Kebun sayur kami perlu disiram lebih kerap pada musim panas ini bagi menggelakkan gangguan tumbesaran.
“Saya harap sumber air dari sungai dapat digunakan sehingga berakhirnya musim kering pada Julai depan,” katanya.
Di Pasir Mas, Kelantan, nasib sama turut dialami seorang pekebun yang bimbang dengan tanaman kira-kira 500 pokok kelapa yang diusahakan di Kampung Tok Rusa Meranti.
Ariffin Awang Chik, 63, berkata, pokok kelapa pandan tidak dapat mengeluarkan buah apabila mayangnya menjadi kering serta pelepah patah akibat panas melampau.
“Pokok kelapa perlu disiram setiap hari menggunakan air telaga.
“Disebabkan kemarau panjang, tiga telaga kering sehingga terputus sumber air,” katanya.
Menurutnya, meskipun masih ada satu sumber air telaga tiub, ia masih tidak mencukupi untuk menyiram tanaman di atas tanah seluas dua hektar kerana kedudukannya yang jauh.
“Tanah-tanah di kawasan ini juga merekah dan daun pokok kelapa menjadi kering.
“Sedih melihat tanaman ini yang terbantut pembesaran akibat kemarau panjang,” ujarnya.
Menurutnya, jika tiada bekalan air dalam masa terdekat, pokok-pokok kelapa yang di-
tanam itu akan mati.
“Saya cuba gali telaga baharu untuk mendapatkan sumber air bagi selamatkan tanaman ini yang diusahakan sejak empat tahun lalu.
“Saya berharap ada bantuan daripada pihak Jabatan Pertanian kerana buntu melihat keadaan pokok-pokok kelapa yang hampir mati,” katanya.














