KUALA LUMPUR – “Saya dengar bunyi gegaran dari bawah tanah sebelum pokok itu tumbang.”
Demikian kongsi penghantar makanan, Shahrul Izlin Mohammad Zain, 37, berhubung kejadian pokok tumbang yang meragut satu nyawa, manakala dua yang lain cedera di Jalan Sultan Ismail di sini kelmarin.
Menurut lelaki itu, ketika kejadian dia sedang berteduh di perhentian bas berdekatan sementara menunggu pesanan pelanggan.
“Sewaktu kejadian hujan begitu lebat, ada beberapa dahan besar mulai jatuh atas jalan. Tidak lama kemudian saya dengar bunyi aneh dari bawah tanah jadi kami berpindah dari lokasi tersebut.
“Selang beberapa langkah pokok besar tersebut tumbang secara perlahan-lahan dan menghempap kenderaan yang berada di atas jalan,” katanya.

Shahrul Izlin berkata, ketika kejadian ramai penghantar makanan dan pemandu teksi berteduh di perhentian bas tersebut sementara menunggu pelanggan.
“Biasanya, kami (rider) berteduh bawah pokok besar ini, tapi disebabkan hujan semalam (kelmarin) kami menunggu di perhentian bas. Alhamdulillah Allah selamatkan nyawa kami.
“Saya dapat tahu ada pemandu teksi yang menunggu dalam kereta tidak sempat menyelamatkan diri namun dia terselamat,” ujarnya.
Tambahnya, biasanya jika cuaca hujan, ranting dan dahan kecil pokok berusia lebih 50 tahun itu akan jatuh namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan sebelum ini.
Bagi pekerja pembersihan, Mohammad Syafii Sajiri, 28, ketika kejadian dia terdengar bunyi kuat seperti petir sebelum mendapati pokok berdekatan tumbang menghempap kenderaan orang awam.
“Ketika kejadian Lampu isyarat baru bertukar hijau dan kereta mulai bergerak sebelum pokok itu tumbang,”ujarnya.

Jelasnya pokok besar itu tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum tumbang dan meragut satu nyawa kelmarin.
“Sebelum ini, berlaku hujan lebat dan angin kencang tapi pokok itu nampak baik sahaja. Mungkin akarnya sudah tidak dapat menampung berat,” katanya,
Tinjauan di lokasi kejadian semalam mendapati kawasan terjejas sudah dibersihkan.
Pemandu teksi, Syed Ali Syed Abu Thahir, 51, berharap pihak berwajib dapat memantau keadaan pokok-pokok besar di sekitar ibu negara bagi mengelak kejadian yang sama berulang.
“Kejadian semalam membuatkan kami trauma. Ia merupakan tempat kami berehat sementara menunggu penumpang,” katanya.













