MAZIANI sedih melihat rumah sewa keluarganya yang musnah terbakar di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu semalam.

Selepas banjir, rumah pula terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Seorang pekerja am terpaksa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu setelah rebah kerana terlalu bersedih melihat rumah yang didia­mi keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Paya Besar, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu memusnahkan rumah sewa yang didiami Maziani Sudin, 29, bersama suami, Helmi Mohd. Nawi, 33, serta tiga anak mereka sejak lebih dua tahun lalu.

Maziani yang berkhidmat di Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu, Kuala Berang di sini berkata, kejadian kebakaran itu menyebabkan mereka sekeluarga
bagaikan jatuh ditimpa tangga.

“Kami diuji bertimpa-timpa sejak awal tahun ini. Mula-mula rumah sewa kami dilanda banjir musim tengkujuh pada awal Ja­nuari lalu menyebabkan banyak kerosakan.

“Anak keempat pula mening­gal dunia dalam kandungan akibat kegagalan jantung pada 3 Mac lalu iaitu sehari sebelum dia sepatut dilahirkan. Kini kami tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Paya Besar, di sini semalam.

Menceritakan kembali kejadian kebakaran itu, Maziani berkata, dia bergegas pulang ke rumah dari tempat kerja sebaik mene­rima panggilan telefon daripada seorang jirannya berhubung kebakaran itu.

Katanya, sebaik tiba di rumah, api terlalu marak sehingga tiada apa-apa yang boleh diselamatkan.

“Saya yang terlalu hiba tiba-tiba jatuh pengsan dan sedar-sedar telah dihantar penduduk kampung ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.

“Mujur sewaktu kejadian, suami saya (Mohd. Helmi) dan anak bongsu yang berusia tiga tahun dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, manakala dua lagi anak berumur tujuh dan lapan tahun pula sedang bersekolah,” katanya.

Maziani berkata, kebakaran terbabit menyebabkan mereka sekeluarga kerugian hampir RM20,000.

Dia berkata, buat masa ini, mereka sekeluarga terpaksa menumpang sementara di rumah ibunya yang terletak tidak jauh dari rumah sewa mereka.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Maziani bernombor 163037396991 (Maybank) atau menghubunginya di talian 011-1450 5267.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN