LIVERPOOL – Bekas pengurus Liverpool, Gerard Houllier disahkan meninggal dunia pada usia 73 tahun sebentar tadi.
Pengendali kelahiran Perancis itu membimbing The Reds dari 1998 hingga 2004 dan berjaya membawa pasukan tersebut memenangi lima kejuaraan utama termasuk Piala FA, Piala Liga serta Piala UEFA.
Sebelum menyertai Liverpool, Houllier mengemudi Lens, Paris Saint-Germain (PSG) dan skuad kebangsaan Perancis.
Selepas meninggalkan Liverpool, beliau membimbing Olympique Lyon memenangi dua kejuaraan Liga Perancis sebelum kembali ke England untuk melatih Aston Villa.
Bagaimanapun, Houllier yang menyertai Villa pada 2010 terpaksa meninggalkan pasukan tersebut setahun kemudian selepas berdepan masalah jantung.
Liverpool dan Villa menyatakan rasa sedih atas kematian bekas pengurus mereka itu menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab masing-masing.
“Kami sangat sedih dan akan berkabung atas pemergian pengurus yang pernah membawa pasukan ini memenangi gelaran trebel. Takziah diucapkan kepada keluarga Houllier,” ujar Liverpool menerusi satu kenyataan rasmi. – AGENSI