Sudah menjadi kelaziman menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pasti antara momen indah setiap kali tibanya Syawal.
Namun, buat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), menyambut kedatangan Aidilfitiri itu mungkin sedikit berbeza apabila terpaksa berjauhan dengan insan tersayang.
Syawal baru-baru ini menggamit rasa sayu buat penghuni Puspen Papar, Sabah apabila dikunjungi ahli keluarga yang datang menziarahi mereka untuk bersama merayakan hari mulia yang sentiasa dinantikan seluruh umat Islam itu.
Bagi penghuninya, Aiman (bukan nama sebenar), 44, bukan ketupat, rendang mahupun lemang yang dinantikan ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini tetapi juadah ayam masak kicap air tangan ibu sudah cukup mengubati kerinduannya kepada keluarga.
Aiman yang kini menjadi salah seorang penghuni atau dipanggil klien di Puspen Papar sejak November tahun lalu menyatakan, walaupun hidangan berkenaan nampak ringkas, ia antara masakan ibu yang tidak pernah jemu dinikmatinya sejak kecil.
“Itu masakan ibu menjadi kegemaran sejak kecil, malahan ketika ibu dan ahli keluarga melawat saya di sini baru-baru ini, tiada terlintas untuk meminta mereka membawakan juadah hari raya melainkan ayam masak kicap ibu.
“Alhamdulillah, mereka membawanya dan membuatkan saya rasa sebak dan terharu.
“Saya bersyukur sokongan ahli keluarga seperti isteri, anak-anak, ibu dan adik-beradik tidak pernah putus sepanjang saya menjalani kehidupan sebagai salah seorang klien di Puspen Papar.
“Buat isteri, terima kasih tidak jemu-jemu melawat abang setiap bulan di sini. Walaupun abang berdosa dan banyak buat silap, tetapi terima kasih tidak sisihkan abang,” katanya dalam nada sebak.
Dijangka menjalani pemulihan selama dua tahun, bapa kepada lima cahaya mata berusia 11 hingga 20 tahun itu menyatakan kehidupan ketika ini yang terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anak benar-benar menimbulkan keinsafan buat dirinya, selain berazam mahu memperbetulkan kesilapan lampau.
Dalam pada itu, isteri kepada Aiman yang hanya mahu dikenali sebagai Yan, 39, berkata, tiada sebesar zarah kata penyesalan wujud di benak fikirannya mengenai keadaan suami yang kini berada dalam proses pemulihan di Puspen.
Mula mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun lalu, Yan melihat situasi dilalui keluarganya ketika ini adalah sebagai ujian bagi memperbaiki diri masing-masing selaku suami isteri mahupun ibu bapa.
“Saya tidak pernah terlepas melawat suami setiap bulan di sini walaupun saya terpaksa datang jauh dari Labuan, malahan ahli keluarga lain turut sering melawat suami di sini.

“Kami sedar sokongan moral dan kata-kata semangat itu penting buat proses pemulihan suami. Saya tidak mahu suami rasa tersisih dan beranggapan kami meminggirkan dirinya,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Mesra Keluarga Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi penghuni Puspen Papar dikenali sebagai Haikal, 38, menyifatkan ibunya adalah sumber kekuatannya.
Haikal berkata, ibunya adalah insan yang tidak pernah mengenal erti jemu dan putus asa mendoakan serta memberikan kata-kata semangat buatnya sepanjang mendapatkan rawatan pemulihan.
Namun, Haikal akui paling merindu hidangan nasi kuning ayam air tangan bekas isteri tatkala tibanya sambutan Aidilfitri.
Bagaimanapun, akibat pengaruh rakan sekerja dalam pengambilan dadah, Man terpaksa menerima hakikat bahawa rumah tangga yang dibina musnah dan berdepan perceraian.
Menceritakan semula permulaan terjebak dengan dadah, Man memaklumkan dirinya mula mengambil dadah seawal usia 17 tahun dan ketagihan semakin teruk sejak bekerja sebagai pemandu lori.
“Masa saya ketika itu banyak dihabiskan di jalan raya untuk perjalanan yang jauh dan kawan-kawan sama tempat kerjalah cadangkan saya guna syabu supaya tidak cepat mengantuk.
“Awalnya dadah itu macam ubat tapi lama-kelamaan saya jadi ketagih. Dos kecil sahaja sekitar RM50 sehari dan saya hanya guna apabila perlu menghantar barangan dari Tawau ke Sandakan dalam tiga kali seminggu,” katanya.
Bercerita lanjut tentang dirinya, bapa kepada tiga cahaya mata itu menyatakan selain menggunakan dadah, dirinya juga pernah dipenjara selama 14 bulan atas kesalahan cuba melupuskan barang bukti iaitu kabel elektrik ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Menurut Haikal, perceraian berlaku sejurus bebas daripada penjara dan waktu itu hidupnya seperti hilang arah.
“Selepas dibebaskan, saya memang berazam untuk berubah dan mahu kembali ke pangkuan keluarga terutama isteri dan anak-anak.
“Sejurus bercerai, saya kembali mendapat pekerjaan di sebuah kilang sebagai pemandu lori tetapi ketika itu saya kembali menggunakan dadah kerana kesunyian hidup.
“Hidup saya sunyi tanpa isteri dan anak-anak. Tekanan kehidupan peribadi, masalah di tempat kerja serta pengaruh rakan-rakan membuatkan dadah menjadi teman saya semula,” katanya sambil menitiskan air mata.
Sama seperti Haikal, seorang lagi klien, Zack menyifatkan melalui fasa perceraian sebanyak dua kali membuatkan dirinya pernah terlintas mahu membunuh diri.
Bekas anggota tentera itu yang ditemu bual beberapa minggu lalu berkata, perpisahan dengan isteri pertama berlaku apabila dirinya menamatkan perkhidmatan selaku tentera pada tahun 2014.
“Akibat terlalu lama tiada pekerjaan, saya telah dihalau keluar rumah oleh keluarga isteri. Ketika itu kami menetap di Kuching, Sarawak dan perceraian terjadi.
“Hidup seperti gelandangan sehingga ada seorang individu ini sanggup menumpangkan saya tinggal di rumahnya.
“Dia merupakan seorang pengedar dadah dan sejak mengenalinya, saya mula berjinak-jinak menggunakan dadah.
“Asalnya saya hanya cuba-cuba, namun keadaan semakin tidak terkawal sehingga rakan tempat saya menumpang itu kemudian membantu saya mencari ahli keluarga saya di Labuan sebelum saya diambil semula menetap di rumah keluarga.
“Apabila kembali ke pangkuan keluarga, saya berjaya meninggalkan ketagihan itu dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
“Saya juga dapat pekerjaan baharu di sebuah syarikat perkapalan dan berkahwin lagi untuk perkahwinan kali kedua.
“Namun, kesibukan tugasan harian membuatkan saya kurang masa bersama keluarga hingga mengakibatkan isteri dan anak pergi meninggalkan rumah.
“Berikutan pergolakan rumah tangga itu, saya mencari dadah semula untuk menghilangkan tekanan yang ada.
“Saya ditangkap ketika Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengadakan seminar dan saringan sempena Minggu Kesihatan dan Keselamatan Pekerja yang dianjurkan oleh syarikat.
“Dimasukkan ke Puspen Papar bermula bulan Mac tahun lalu, sudah lebih setahun saya menjalani sesi pemulihan,” katanya memaklumkan dirinya sah bercerai dengan isteri untuk perkahwinan kali kedua pada Jun tahun lalu.
Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Zack memaklumkan, wajah tiga anaknya hasil dua perkahwinan terdahulu sentiasa bermain di minda.
Zack berpendapat, sambutan raya tetap sama walau di mana ia disambut, tetapi rasa rindu dan keinginan mahu bertemu anak-anak itu lebih menebal di dalam diri.
Menurut Zack, sambutan Aidilfitri akan lebih bermakna sekiranya dapat meraikan perayaan itu bersama kesemua anak di sisi, namun tiada kunjungan daripada mereka.













