PETALING JAYA – Pengalaman membuat hampir 1,000 selaman dengan 300 daripadanya melibatkan tasik-tasik utama di seluruh negara menjadikan Wan Ikbal Zahin Wan Kamal antara pakar dalam selaman ekstrem.
Sarjan Skuad Penyelamat Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mengakui, selaman di dalam tasik adalah lebih berisiko berbanding laut disebabkan faktor ketumpatan air dan jarak penglihatan yang terhad.
Menurut Wan Ikbal, 48, antara tasik yang telah ‘ditawan’ adalah Tasik Titiwangsa, Tasik Saujana Putra dan Tasik Ampang Hilir.
Namun katanya, selaman di Tasik Titiwangsa adalah yang paling mencabar sepanjang 20 tahun berkhidmat di dalam skuad berkenaan.
“Kedalaman maksimum pernah saya selam di tasik ini ialah 25 meter (m). Ada lagi bahagian saya tidak dapat turun atas faktor kedalaman, tahap bahaya dan kekurangan peralatan sesuai.
“Tasik Titiwangsa ini struktur dan dasarnya berbukit-bukit serta dalam. Ia juga tidak kuat dan mudah runtuh kerana tasik ini dahulunya adalah kawasan perlombongan bijih timah utama di Kuala Lumpur.
“Saya kagum dengan keadaan dalam tasik ini kerana masih ada tinggalan seperti jambatan dan paip-paip lama yang masih utuh berada di dasar,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau yang memiliki lesen selam instruktor penyelam skuba itu turut bercita-cita untuk mempunyai pasukan yang ditugaskan khas untuk meneroka tasik di seluruh Semenanjung.
Malah, Tasik Mines Sri Kembangan yang berkedalaman kira-kira 180m atau setinggi pangsapuri 52 tingkat juga antara lokasi impian Wan Ikbal yang aktif berkongsi pengalaman menyelam di tasik di TikToknya, ‘Nama Saya Mika’.
“Pengikut saya di TikTok kerap mencadangkan supaya menyelam di Tasik Mines di Sri Kembangan yang dulunya kawasan kuari. Dulu masa ia tiada air, lori tanah di bawah nampak seperti kotak mancis api saja dari tepi lebuh raya,” jelasnya.
Namun katanya, ia memerlukan masa untuk direalisasikan kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan iaitu dari segi peralatan, latihan khas selain melibatkan kos tinggi.
“Secara asasnya, selaman saya lebih tertumpu kepada tasik. Lokasi latihan unit juga ditetapkan sejak dahulu di tasik, khususnya Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur.
“Selain tugasan sebagai jurulatih penyelam skuba DBKL, saya juga terlibat sebagai tenaga pengajar kursus selaman di luar yang lebih tertumpu di laut, bukannya di tasik,” kongsinya.
Ditanya tentang cabaran yang dihadapi sepanjang bertugas, Wan Ikbal memaklumkan, ancaman ular sawa dan berdepan batuan longgar antara situasi cemas yang pernah dilalui ketika berlatih.
“Selain itu, saya juga pernah terbelit tali pancing ketika melakukan latihan. Ikan pemangsa seperti toman adakala turut membuatkan kita cemas. Apa pun, perancangan penyelaman sentiasa dilakukan,” katanya.















