Minggu lalu, Tehran telah melancarkan serangan dron ke atas wilayah Israel sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim Zionis menyerang konsulat Iran di Syria pada awal bulan ini.
Pakar undang-undang antarabangsa berpendapat, serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran itu bukan bertujuan membunuh penduduk atau memusnahkan Israel. Sebaliknya, ia isyarat bahawa Tehran mampu berdepan dengan Israel tanpa mengharapkan bantuan pihak lain.
Bagi mengulas isu konflik antara Iran dan Israel, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Profesor Politik dan
Hubungan Antarabangsa yang juga Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Baru-baru ini, Tehran telah melancarkan serangan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan kedutaan Iran di Syria pada 1 April lalu. Israel juga telah memberi ‘respond’ pada Iran. Bagaimana Prof. melihat perkembangan terbaru ini?
Prof. Azizuddin Sani: Bagi saya, serangan Iran terhadap Israel adalah satu reaksi terkawal iaitu serangan amaran yang bertujuan untuk tidak memperluaskan konflik ini menjadi konflik lebih besar. Ini kerana, jumlah senjata dron dan peluru berpandu yang digunakan oleh Iran di dalam serangan tersebut adalah kecil.
Dikatakan sebanyak 300 dron dan peluru berpandu yang digunakan dalam serangan itu. Berbeza dengan serangan Hamas yang menggunakan lebih 5,000 roket ke Israel pada 7 Oktober tahun lalu, kapasiti serangan Tehran ini amat kecil berbanding kemampuan ketenteraan Iran.
Setelah diprovokasi oleh Israel sejak Oktober 2023, serangan balas ini berlaku kerana Iran mahu membalas serangan Israel ke atas konsulat negara itu di Syria yang mengorbankan beberapa pemimpin utama tenteranya.
Serangan Israel ke atas konsulat Iran tersebut adalah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa iaitu Vienna Convention on Consular Relations 1963 yang mengiktiraf kedaulatan kedutaan atau konsulat negara asing seumpama wilayah sebenar negara terbabit.
Meskipun berada di Syria, serangan ke atas kedutaan dilihat oleh Iran seolah-olah menyerang wilayah kedaulatan Iran sendiri.
Menariknya, serangan Iran ke atas Israel pula adalah sah dari segi undang-undang antarabangsa berdasarkan Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas dasar mempertahankan diri setelah konsulat Iran diserang Israel. Serangan Iran juga adalah terkawal dan tidak kedengaran korban yang berlaku. Ini menjelaskan bahawa tindakan Iran itu absah dan tidak akan membawa kepada konflik lebih besar pada masa hadapan.
Pada pendapat Prof., adakah serangan dron tersebut merupakan isyarat bahawa gelanggang perang antara Iran dan Israel telah dibuka dan Zionis dijangka akan bertindak balas terhadap Tehran selepas ini?
Seperti yang saya sebut tadi, serangan Iran adalah amaran yang terkawal dan dilakukan mengikut lunas undang-undang antarabangsa.
Namun begitu, ia banyak bergantung kepada reaksi Israel terhadap Iran.
Tehran telah menyatakan pendirian untuk tidak lagi menyerang selagi Israel tidak menyerang Iran.
Sekiranya Israel pula membalas serangan Iran ini, ia akan menjadi perang antara kedua-dua belah pihak.
Namun, sekiranya negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran bagi pihak Israel, ia akan menjadi perang rantau atau global sekiranya Russia juga terlibat di dalam peperangan ini.
Ini kerana, Russia menyatakan bahawa Moscow akan terlibat dengan perang ini sekiranya Iran diserang AS.
Bolehkah Prof. ceritakan sejarah permusuhan antara Israel dan Iran?
Iran pernah mempunyai hubungan baik dengan Israel semasa diperintah oleh Mohammad Reza Shah Pahlavi sebelum digulingkan melalui Revolusi Islam pada tahun 1979 yang diketuai oleh Ayatullah Khomeini.
Selepas itu, Iran tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah dan membantu perjuangan pembebasan Palestin menentang rejim ‘apartied’ itu.
Sejak itu, Israel memusuhi Iran dan cuba mengganggu gugat dan melemahkan Iran. Tehran pula menggunakan proksi mereka di Lubnan seperti Hizbullah, kerajaan Basyar al Assad di Syria dan Houthi di Yemen untuk melancarkan serangan ke atas Israel bagi membela warga Palestin yang tertindas.
Perjuangan Hamas dan Fatah, kedua-duanya juga pernah menerima bantuan daripada Iran.
Ini menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah lama memujuk kuasa Barat untuk menyerang Iran.
Setakat ini, Iran terus bertahan dan menjadi bertambah kuat sebagai kuasa rantau Asia Barat yang menjadi ancaman kepada Israel.
Apakah implikasi-implikasi yang dijangka berlaku di peringkat serantau dan global andai perang antara kedua-dua negara tercetus?
Perang antara Iran dan Israel akan menyebabkan peperangan lebih besar yang akan melibatkan proksi Iran di Lebanon, Syria, Yemen serta Iraq akan terlibat sama.
Israel sudah tentu meminta negara-negara Barat untuk campur tangan. Yang pasti, konflik di Asia Barat ini akan menjejaskan ekonomi global secara keseluruhannya.
Misalnya, harga minyak global akan melambung tinggi. Sebelum ini, harga minyak mentah adalah sekitar AS$86 (RM412) hingga AS$90 (RM430) per tong. Ia boleh meningkat lebih AS$110 (RM526) per tong sekiranya peperangan berlaku. Perdagangan global akan terencat khususnya melibatkan perdagangan negara-negara di Asia Barat.
Tidak ada negara mahu melihat konflik yang lebih besar berlaku di Asia Barat kerana dunia akan menghadapi kemelesetan ekonomi.
Nilai dagangan Malaysia dengan Iran juga mencecah hampir RM4 bilion. Malaysia banyak mengeksport hasil komoditi minyak sawit dan getah ke Iran.
AS awal-awal lagi telah menolak campur tangan membabitkan konflik Iran-Israel. Pada pendapat Prof., adakah AS mengambil jalan selamat dalam konflik ini memandangkan Iran mempunyai aset ketenteraan yang kuat?
AS dilihat tidak akan campur tangan secara langsung di dalam konflik ini kerana beberapa faktor.
Pertama, ekonomi AS berada pada keadaan tidak tentu. Meskipun dilihat semakin bertambah baik, namun ekonomi AS akan merudum sekiranya terlibat dengan perang.
Ekonomi AS kini sedang berada dalam pemulihan setelah berbelanja sebanyak AS$16 trilion (RM77 trilion) ketika menghadapi krisis pandemik Covid-19 lalu. Persaingan ekonomi AS juga sangat besar khususnya daripada negara-negara BRICS (iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) yang mana penguasaan petrol menjadi isu. Jadi, faktor ekonomi menjadi perkiraan AS untuk tidak terlibat dengan perang.
Sebelum ini, pemberi dana kepada Israel dalam melancarkan peperangan di Gaza.
Kongres AS meluluskan AS$4.5 bilion (RM22 bilion) untuk bantuan ketenteraan kepada Israel pada tahun 2023, AS$18 bilion (RM86 bilion) pada 2024, selain bantuan tahunan sebanyak AS$3.8 bilion (RM18 bilion). Peperangan dengan Iran akan mencengkam lagi ekonomi AS.
Kedua, kemampuan ketenteraan AS juga dilihat sudah terbatas. Meskipun AS mempunyai banyak kem tentera di negara-negara Asia Barat, namun semua kem-kem ini akan menjadi sasaran serangan pihak Iran dan proksinya termasuk Russia.
Berundurnya AS daripada Afghanistan pada tahun 2021 setelah berlaku perjanjian antara AS dan Taliban di Doha, Qatar pada 29 Februari 2020 menjelaskan bahawa AS sudah tidak mampu memperluaskan hegemoni mereka.
Ketiga, pada tahun ini akan diadakan pilihan raya presiden AS. Joe Biden dikatakan akan berlawan semula dengan Donald Trump. Sentimen perang adalah tidak popular di AS. Ini menyebabkan Joe Biden bimbang akan tewas.
Rata-rata umat Islam di seluruh dunia menyambut baik tindakan Iran menyerang Israel. Mampukah Iran memainkan peranannya untuk menghentikan kekejaman di Palestin?
Iran dan rakan-rakan proksinya telah memainkan peranan untuk menghentikan kekejaman di Palestin.
Namun, untuk memberhentikan kekejaman perlu melibatkan kerjasama lebih besar.
Tindakan Afrika Selatan membawa kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melawan Israel adalah salah satu usaha menekan rejim Zionis daripada berterusan melakukan jenayah kemanusiaan.
Tindakan masyarakat antarabangsa melancarkan boikot kepada produk yang dikeluarkan oleh syarikat yang pro-Israel juga mendatangkan hasil.
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh Wisma Putra bagi menjamin keselamatan rakyat kita di Asia Barat?
Buat masa ini, saya tidak menjangkakan ia akan terjejas.
Ini kerana, peperangan ini belum merebak. Namun begitu, Wisma Putra harus memerhati dengan lebih teliti suasana di negara Asia Barat supaya langkah pantas boleh diambil untuk memanggil pulang rakyat Malaysia di sana.
Kita juga perlu menangguhkan pemergian haji tahun ini sekiranya perang merebak. Namun, saya rasa keadaan sekarang masih terlalu awal.
PBB perlu memainkan peranannya bagi mengelakkan konflik di Asia Barat terus memburuk. Apakah langkah-langkah awal yang boleh dilakukan oleh PBB ketika ini?
Iran sebenarnya telah sedia menerima sekatan ekonomi daripada negara Barat khususnya AS.
Saya juga melihat tindakan yang lebih keras boleh dilakukan oleh Majlis Keselamatan PBB kepada Iran, namun ia tidak akan berlaku kerana tindakan Tehran tidak melanggar apa-apa kesalahan undang-undang antarabangsa.
Malah, Russia dan China sebagai negara kuasa veto juga menyokong Iran di dalam Majlis Keselamatan PBB.
Bagaimana Prof. melihat karakter Iran sebagai sebuah negara, adakah Tehran mempunyai karakter negara digeruni?
Iran mempunyai 610,000 tentera dan 350,000 tentera simpanan.
Iran dikatakan adalah negara ke-14 terkuat di dunia dari segi kemampuan ketenteraan. Iran mampu membina teknologi ketenteraannya sendiri.
Iran mempunyai peluru berpandu balistik terbanyak di Asia Barat dan ada peluru berpandunya boleh menjangkau sejauh 2,000 kilometer jarak sasaran. Malah, ada yang mengatakan bahawa Iran mempunyai teknologi nuklear.
















