KAJANG – Pembunuhan kejam seorang bayi berusia enam bulan di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang dekat sini pada Ahad lalu turu mengejutkan penduduk di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk dikenali Zainal, 56, mendakwa, mereka tidak mengetahui masalah yang dihadapi keluarga berkenaan, namun sering kali mendengar tangisan bayi sejak sebelum bulan puasa lagi.
Dakwanya, tangisan bayi lelaki berusia enam bulan itu turut didengari jiran-jiran lain, sehinggakan ada yang bertanyakan mengenai situasi itu dalam kumpulan WhatsApp penduduk.
“Memang sebelum ini, sejak sebelum bulan puasa kami sering dengar bayi ini menangis kuat, tidak seperti orang yang kelaparan susu, tapi macam ada sesuatu.
“Memang hampir setiap hari, bila masuk waktu Maghrib akan mula menangis sampailah suara hilang.
“Kami ada maklum dan bertanyakan anak siapa menangis, namun tiada respons,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, Zainal yang menghuni kediaman berkenaan sejak 14 tahun lalu mendakwa tidak lagi mendengar sebarang tangisan atau pergelutan pada malam kejadian yang meragut nyawa bayi terbabit.
“Saya dapat makluman pun baru semalam selepas kejadian. Isteri (ibu mangsa) kata ada terdetik untuk beritahu tapi tidak berdaya sebab takut dipukul suami.
“Setiap kali nak mengadu, dia akan dipukul oleh suaminya. Jiran berdekatan rumah sebelum ini pun ada dengar seperti seseorang dipukul dan jeritan minta tolong,” kongsinya.
Mengulas mengenai kehadiran orang luar yang berkunjung ke rumah suspek, beliau mengakui pernah terserempak dengan mereka, namun tidak pernah terfikirkan mengenai hal negatif.















