BALING – Seorang lelaki, Azhar Jaafar, 49, berkata, dia mengambil inisiatif mencipta dan mencetak 900 keping kad raya untuk dijual kepada orang ramai bagi mengimbau era kegemilangan pemberian kad ucapan hari raya satu ketika dahulu.
Menurutnya, meskipun aplikasi WhatsApp, TikTok dan platform digital menjadi medium dan pilihan orang ramai untuk saling berhubung dan memberikan pelbagai ucapan, namun kad raya masih menjadi pilihan sesetengah individu.
“Hampir 20 tahun kita tidak melihat kad-kad raya di pasaran dan tidak menerimanya serta tidak lagi menghantarnya kepada keluarga tersayang mahupun rakan-rakan yang diingati.
“Oleh sebab itu, saya ingin berkongsi dan mengembalikan zaman keseronokan mengirim dan menerima kad-kad raya yang mana ia paling ditunggu menjelang Aidlfitri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pekan di sini semalam.
Katanya, usahanya untuk mengeluarkan kad raya ini bermula sejak 10 tahun lalu dengan tempahan 100 keping, gambar kad berlatarbelakangkan Masjid Ridzwaniah pada harga RM2.
Pada tahun ini, Azhar meminta bantuan rakannya untuk melakarkan lukisan dalam bentuk kecerdasan buatan (AI) berkonsepkan identiti Baling seperti Gunung Baling, Gunung Pulai, Masjid Ridzwaniah yang baharu, rumah-rumah papan yang cantik dan disertakan dengan ucapan dialek Baling.
“Saya ciptakan sembilan lakaran gambar dengan pelbagai kata-kata serta ucapan yang menarik yang sesuai ditujukan kepada seseorang yang mereka kehendaki pada harga antara RM4 hingga RM5,” katanya.
Kad ucapan itu juga boleh dijadikan kemeriahan hari raya apabila dijadikan hiasan dengan mengantungkannya di dinding rumah atau dahan pokok kering hiasan.














