fbpx
Norita (kiri) membuka perniagaan menjual biskut raya di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, sejak Ramadan ke-10.

Dulu jual 200 balang kuih, kini hanya mampu 80

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Rata-rata pe­ngusaha mengeluh apabila tempahan biskut raya kurang mendapat sambutan terutama daripada pelanggan tetap de­ngan hanya satu atau dua bekas sahaja dibeli bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Biarpun membuka tempahan sehingga hari-hari terakhir berpuasa, namun situasi itu tetap tidak mampu menaikkan jualan yang merosot pada tahun ini.

Pengusaha Ajja Bakery, Nur Hajar Salim, 34, berkata, tahun ini dia hanya mampu menjual 80 bekas biskut raya berbanding 200 bekas tahun lalu.

“Keadaan kali ini (Hari Raya) agak luar biasa. Bukan saya seorang yang terasa, malah ramai lagi pengusaha yang berdepan situasi sama. Ada sebelum ini menerima 300 tempahan tetapi tahun ini hanya dapat 150 ­tem­pahan.

“Bayangkan, pelanggan tetap yang biasanya menempah sehingga lapan bekas biskut, kali ini hanya satu atau dua sahaja.

“Tahun-tahun sebelum ini, boleh dapat untung dua kali ganda dengan modal yang dikeluarkan antara RM1,500 hingga RM2,000, namun kali ini keuntungan hanya sekali ganda atau bawah RM2,000,” katanya di sini semalam.

Nur Hajar memberitahu, kenaikan harga bahan-bahan membuat biskut sehingga 70 peratus sejak awal Ramadan lalu sekali gus menyebabkan berlaku kenaikan harga biskut menjadi antara faktor penjualan terjejas.

“Ramai pelanggan mahu harga lama tetapi ramai pengusaha terpaksa menaikkan harga beberapa jenis biskut antara RM3 hingga RM5 satu bekas,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga biskut raya dan kerepek, Norita Ismail, 56, mengakui bisnes tahun ini tidak seperti tahun lalu dan stok biskut raya lebih 400 bekas masih belum terjual.

“Sebelum ini, kira-kira 30 jenis biskut dan kerepek yang dijual mula susut seminggu sebelum Aidilfitri dan pelanggan datang membeli dalam kuantiti yang banyak iaitu pada harga RM100 ke atas.

“Tetapi kali ini, majoriti mereka membeli hanya sejenis biskut atau kerepek yang dijual pada harga antara RM18 hingag RM20. Hanya seorang dua sahaja yang datang membeli sehingga RM200.

Nampak gayanya memang ada banyak lebihan lagi yang tidak terjual,” keluhnya.

Tambah Norita, pelanggannya memaklumkan faktor kewangan ketika ini memaksa mereka berjimat cermat selain tidak lagi menjadikan biskut raya sebagai juadah wajib menyambut pagi Syawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN