BEKERJA sebagai pereka grafik telah mendedahkan wanita itu dengan sesuatu yang jarang dihargai oleh orang awam meskipun ia sering dilihat dalam pelbagai medium.
Malah, perkara itu juga merupakan antara elemen yang memiliki nilai sejarah tersendiri dan boleh menjadi simbolik sesuatu entiti sama ada dari peringkat komuniti atau pada skala besar.
Hal ini membuat wanita tersebut mahu mengkaji dengan lebih mendalam tentang suatu subjek yang kurang mendapat perhatian terutama oleh rakyat Malaysia iaitu tipografi.
Secara mudahnya, tipografi ialah kajian berkisar tulisan, bentuk-bentuknya dan perkaitannya dengan budaya bangsa.
Menurut Tan Sueh Li, 43, dalam melaksanakan kajian tersebut, dia mengasaskan gabungan beberapa pereka grafik berkongsi minat sama sebagai gabungan penyelidik yang dinamakan Huruf.
“Saya seorang graduan program Jenis dan Media di Akademi Seni Diraja di The Hague, Belanda yang mana bidang itu juga telah memberi inspirasi kepada saya untuk mengkaji tentang tipografi dan menghargai budaya visual Malaysia, seterusnya mengembangkan minat untuk meneroka identiti unik dalam reka bentuk huruf dan jenis.
“Saya bermula dengan kajian tipografi sejak 2017 bersama beberapa orang rakan iaitu Tan Zi Hao, Low Hsin Yin, David Ho Ming Aun dan Fam Kai-Cong yang mana kami bersama-sama menjelajah Malaysia dan mencari bentuk-bentuk tulisan untuk tujuan kajian,” katanya ketika ditemui K2 di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi gerakan Huruf, mereka bukan sahaja meneroka minat terhadap tipografi di Malaysia, tetapi turut menggalakkan kesedaran terhadap subjek tersebut yang dilihat sebagai satu elemen sejarah di Malaysia.
Dalam usaha tersebut, Huruf juga menjalankan beberapa inisiatif seperti penganjuran program, bengkel dan penyelidikan dengan melibatkan komuniti tipografi di Malaysia.
Tipografi ialah seni atau teknik mengatur huruf menggunakan gabungan bentuk huruf cetak, saiz fon, ketebalan garis, garis pandu (line leading), jarak aksara dan ruang huruf untuk menghasilkan seni aturan huruf dalam bentuk fizikal atau digital.
Ia juga dihasilkan melalui pengatur huruf, jurutipografi, artis grafik, pengarah seni dan pekerja perkeranian.
Sebelum ini, tipografi merupakan satu pekerjaan yang khusus yang mana setiap rekaan huruf perlu dilukis menggunakan tangan, namun kerjaya itu pupus selepas kewujudan komputer.

Tipografi merangkumi semua bentuk tulisan, kaligrafi dan huruf vernakular. Sebagai medium bertulis, tipografi harus mencerminkan amplitud, irama, intonasi atau aksen yang kesemuanya membentuk personaliti tersendiri yang berakar umbi dalam lokaliti tertentu.
Jelas Sueh Li, tipografi berkait rapat dengan kehidupan manusia kerana ia ada di sekeliling tanpa disedari.
“Sebagai contoh, jika kita ke pekan, terdapat pelbagai papan tanda yang menggunakan bermacam-macam rekaan huruf, selain dalam perisian komputer seperti Microsoft Word ada pilihan rekaan huruf atau fon dan itulah sebenarnya tipografi.
“Tipografi melibatkan semua jenis tulisan tidak kira apa jua bahasa dan ini sebenarnya menarik untuk dikaji kerana setiap rekaan huruf sangat signifikan dengan bangsa dan negara yang mana ia juga mencetus satu budaya dalam komuniti,” ujarnya.
Tambahnya, tipografi sudah wujud dari awal wujudnya tulisan hingga ukiran di batu bersurat, dokumentasi serta surat menyurat dan kini semuanya boleh dilakukan dengan komputer.
Berkongsi tentang kajian tipografi di Malaysia, pengkaji tipografi Tan Zi Hao, 35 memberitahu bahawa negara ini mempunyai landskap yang unik.
Katanya, memandangkan Malaysia berbilang kaum, tipografi di negara ini mempunyai kepelbagaian.
“Kita bukan hanya gunakan huruf roman, tetapi juga huruf lain seperti jawi, Cina, Tamil dan Urdu yang mana menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia. Kepelbagaian tipografi ini dapat dilihat menerusi pelbagai aspek termasuk beribu-ribu papan tanda vernakular yang ditulis dalam pelbagai bahasa, dialek dan skrip,” kongsinya.
Tambahnya, Malaysia unik kerana komuniti berbilang kaumnya meliputi Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan, Punjabi dan banyak lagi komuniti lain.
Jelasnya, dalam konteks kehidupan seharian, tipografi jelas dapat dilihat pada papan-papan tanda di kedai-kedai, jalan raya, papan iklan dan sebagainya.
Jika diperhati teliti, bentuk tulisan yang digunakan pada kedai-kedai adalah satu elemen yang menarik pelanggan dan identiti sebuah perniagaan.
Contohnya, jika ke kedai orang Cina, tipografi mereka lebih kepada bahasa Mandarin atau Kantonis yang dipaparkan pada papan tanda atau tiang hadapan kedai. Begitu juga kedai orang India dengan bahasa Tamil dan Melayu huruf roman serta sebahagiannya jawi.
Biasanya penggunaan fon untuk papan tanda lebih kepada jenis yang jelas dan mudah dibaca oleh orang yang lalu lalang di kawasan mereka.
Berbeza pula dalam budaya tulisan menerusi dokumentasi yang mana menerusi zaman kita dapat lihat bentuk tulisan yang berbeza-beza.
“Kebiasaannya penggunaan bentuk tulisan bergantung kepada jenis yang biasa digunakan mengikut zaman daripada tulisan berangkai kepada huruf-huruf tunggal.
“Sebagai contoh, fon Times New Roman adalah jenis yang biasa digunakan di era 90-an kerana ia menjadi ketetapan dalam organisasi untuk digunakan dalam surat menyurat selain mudah dibaca,” ujarnya.
Menerusi Huruf, semua aspek ini menjadi antara elemen yang dikaji.
Menurut seorang lagi pengkaji, Louie Lee, 32, tipografi bukan sekadar seni kraf ataupun teknikal, tetapi juga kajian tentang tekstur dan butiran tulisan dalam bahasa, sejarah, dan budaya.
“Tipografi adalah budaya dalam masyarakat dan Huruf mengkaji bagaimana serta mengapa bentuk-bentuk tulisan sangat sinonim mengikut bangsa-bangsa di Malaysia.
“Menerusi kajian ini, kita mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia bagaimana bentuk tulisan juga perlu dihargai sebagai salah satu warisan budaya yang mana ketika ini masyarakat hanya tertumpu pada peninggalan objek dan seni bina,” kongsinya.
















