ALOR SETAR – Kebanyakan peniaga bazar Ramadan di negeri ini didakwa terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal kerana kurang pelanggan dan makanan sering tidak habis.
Pengerusi Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia (Ikhlas) Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, peniaga terpaksa berbuat demikian untuk mengelak daripada mengalami kerugian lebih besar.
“Bazar Ramadan ini ada setengah peniaga yang sudah berhenti kerana sambutan kurang. Apa yang menjadi masalah utama sekarang bahan mentah mahal, contoh beras sudah RM40, bawang kalau dulu RM2.30 sekarang RM9 sekilogram.
“Kos bahan mentah mahal, jadi peniaga terpaksa jual mahal. Kalau dulu bihun sup RM3.50 sekarang RM7 sebungkus. Jadi kuasa membeli semakin berkurang.
“Sebagai Pengerusi Ikhlas Kedah saya amat sedih hati. Berniaga seminggu tak habis barang jualan, tak boleh jalan (rugi) kerana kalau berniaga juga tentu makan modal lagi banyak,” katanya.
Sarjakhan menambah, lebih membimbangkan banyak juga dalam kalangan peniaga berkenaan kini terpaksa menanggung hutang termasuk daripada ah long.
“Mereka terpaksa pinjam sana sini untuk berniaga di bazar sebelum ini sehinggakan ke along, bila tidak mampu bayar siapa nak jawab? Kehidupan mereka jadi kacau. Kalau peniaga kecil tak boleh berniaga pinjaman tak boleh nak bayar,” katanya.
Katanya, pihak terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diharapkan agar mempertimbangkan semula kadar sewa tapak bazar yang naik pada tahun ini untuk menjaga ekonomi peniaga terutama bumiputera.
“Modal besar, tak kisah kalau khemah RM30,000 kalau ada jualan tetapi ini sebaliknya. Jadi PBT dan kerajaan kena nilai perkara ini semula,” katanya.














