PUTRAJAYA – Sebanyak 74 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang dilakukan keluarga angkat serta keluarga peliharaan direkodkan di negara ini pada tahun lalu, meningkat empat kes berbanding 70 kes pada tahun sebelumnya.
Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dr. Sopian Brahim berkata, sebanyak 211 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak angkat direkodkan sepanjang tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023.
“Setiap tahun ada peningkatan kes, 2021 kami rekod sebanyak 67 kes, kemudian 2022 meningkat tiga kes lagi dan tahun lalu sekali lagi meningkat empat kes,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Sopian, kecuaian ibu bapa angkat atau keluarga peliharaan sama ada secara sengaja atau tidak menjadi penyumbang kepada peningkatan kes keganasan terhadap kanak-kanak.
Antara kejadian yang jelas menunjukkan penjaga itu cuai apabila ada anak yang ditinggalkan di dalam kereta, terjatuh eskalator dan bangunan.
“Malah, ada yang hanya membiarkan kanak-kanak seawal 10 tahun keluar bersendirian ke pasar malam, taman permainan atau kedai runcit tanpa pengawasan orang dewasa,” ujarnya.
Sopian memberitahu, berdasarkan statistik JKM, faktor lain kepada isu pengabaian dan penderaan anak jagaan itu adalah perbalahan yang timbul dalam kalangan keluarga angkat itu.
Katanya, terdapat ibu bapa yang mendera anak-anak angkat mereka disebabkan krisis rumah tangga dan mangsa dijadikan tempat pelepas marah.
“Selain itu, masalah kewangan yang melanda keluarga angkat atau keluarga peliharaan ini menyebabkan mereka bertindak ganas kepada anak angkat.
“Setiap tahun kos sara hidup naik, terutama di bandar, yang sebelum ini mampu, akhirnya terseksa dan yang jadi mangsa adalah anak angkat,” ujarnya.
Sehubungan itu, JKM akan menjalankan seliaan berkala terhadap kes-kes di bawah jabatannya untuk memastikan kanak-kanak yang dijaga pihak ketiga ini berada dalam keadaan selamat.
“Sekiranya JKM menerima aduan berkaitan kes anak angkat atau anak pelihara ini didera atau diabai, pihak pelindung, pembantu pelindung dan pihak polis akan siasat segera dan terus hadir ke lokasi kejadian atau hospital yang terlibat dalam tempoh 10 jam daripada aduan diterima.
“Pihak terlibat akan kenal pasti kesahihan kes dan buat pemeriksaan ke atas kanak-kanak terbabit, dan jika memerlukan perlindungan, mereka akan diselamatkan di bawah Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001 dan diberikan penempatan sementara,” jelasnya.
Tambahnya, kes kemudian akan dirujuk ke mahkamah untuk perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 19 dalam tempoh 24 jam atau bawah Seksyen 25 dalam tempoh 24 jam selepas selesai pemeriksaan dan rawatan hospital.
Katanya, tindakan terhadap pendera pula akan dirujuk kepada polis untuk siasatan lanjut dan keputusan akan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, permintaan untuk memelihara anak angkat di negara ini tinggi dan semakin popular dalam kalangan masyarakat terutama pasangan belum mendapat zuriat sehingga ada yang sanggup menunggu bertahun-tahun bagi tujuan itu
Berdasarkan statistik JKM, lebih 600 pasangan mahu mengambil anak pelihara dalam tempoh tiga tahun dari 2021 sehingga 2023, namun hanya 53 kanak-kanak yang dapat disediakan kepada mereka.














