fbpx

KPDNHEP rampasan barangan tiruan bernilai RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur memeriksa stor penyimpanan barangan tiruan dalam satu serbuan di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur  telah merampas barangan tiruan bernilai kira-kira RM1.8 juta dalam satu serbuan yang dilakukan di sekitar ibu negara hari ini.

Serbuan yang dilakukan bersama wakil pemilik cap dagang dilakukan pada pukul 10 pagi melibatkan tiga buah premis serta sepuluh stor penyimpanan barangan tiruan tersebut hasil daripada maklumat risikan yang dilakukan sepanjang dua minggu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Zubir Hamsa berkata, kesemua premis dan stor tersebut dikesan memiliki barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada baju dan seluar dengan menggunakan cap dagangan palsu dari jenama-jenama terkenal.

“Pasukan serbuan telah menyita barangan tersebut yang berjumlah 40,000 unit dengan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

“Selain itu, kami juga menahan seramai enam orang pekerja dan dua pemilik premis bagi membantu siasatan tetapi dua orang warganegara asing dipercayai pekerja premis sempat melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan dilakukan di sini hari ini.

Jelasnya, modus operandi yang digunakan ialah perniagaan secara online dan secara borong kepada pelanggan seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan akan dibuat terhadap peniaga terbabit di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Merujuk kepada statistik penghasilan kes sepanjang tahun 2020 sehingga kini, sebanyak 46 kes telah terhasil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM6.6 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelasnya lagi, pihak kementerian memberi amaran dan peringatan kepada semua orang supaya tidak melanggar undang-undang khususnya melibatkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

“Orang ramai boleh salurkan maklumat melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU atau di portal KPDNHEP www.kpdnhep.gov.my,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI