NAZIM OTHMAN sudah menjadi jenama dalam kamus arena seni tanah air yang hadir dengan pakej lengkap bersama deretan drama fenomena, sekali gus hampir mustahil khalayak tidak mengenalinya.
Daripada sisi antagonis, psiko sehingga ke karakter sebaik-baik insan, kredibiliti pemilik nama penuh Nushrul Alif Othman itu tidak perlu disangkal.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, aktor tinggi lampai itu sentiasa diburu pengarah bagi menghiasi apa jua naskhah mereka.
Mengakui kewujudan ‘tarikh luput’, Nazim sudah mempunyai perancangan untuk menoktahkan kerjaya lakonan demi beralih kepada bidang lain selepas 15 tahun bergelar pelakon.
Bersara
Enggan mendedahkan punca, Nazim atau nama lengkapnya Nushrul Alif Othman, juga lebih selesa tidak berkongsi mengenai jangkaan waktu pengundurannya.
“Saya memang mahu bersara daripada industri hiburan tanah air tetapi terlalu peribadi untuk saya kongsikan sebabnya.
“Apapun, keputusan saya ini bukanlah berkaitan dengan industri, seperti yang saya katakan, lebih kepada hal privasi.

“Bila tarikh atau waktu saya mahu bersara juga saya tak boleh dedahkan. Tunggu dan lihat sahajalah nanti,” katanya kepada HibGlam.
Pun begitu, pelakon asal Johor Bahru itu memaklumkan sudah menyatakan hasratnya itu kepada beberapa sutradara terkenal serta kenalan terdekat.
Sebagai persediaan, pelakon drama Super Menantu itu memaklumkan telah menyusun perincian ke arah hala tuju bidang baharu.
“Orang-orang terdekat tahu perancangan saya ini. Saya juga pernah bercakap dengan beberapa pengarah dan menyuarakan hasrat agar dapat berlakon filem sebelum bersara.
“Sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah berlakon filem. Semoga impian itu akan tercapai sebelum saya bersara.
“Tentang perancangan masa depan, semua saya sudah sediakan. Saya ada ‘exit plan’ sendiri apa yang hendak dibuat selepas ini. Apa sahaja yang hendak dilakukan saya perlu fikir secara terperinci,” ujarnya panjang lebar.
Tidak tergugat
Terus menggali mencari punca, penulis sempat bertanya adakah keputusannya ini bersangkut-paut dengan persaingan dan lambakan pelakon baharu yang hadir menghiasi industri seni.
Tersenyum seraya menggelengkan kepala, aktor berusia 40 tahun itu menegaskan, dirinya tidak pernah tergugat dengan kehadiran bintang baharu, kendatipun kini lebih sering diberikan watak pembantu.
“Selagi masih dihargai, sihat dan masih diperlukan, saya akan terus berlakon sehingga saya rasa sudah waktu sesuai untuk bersara seperti yang saya kata sebelum ini.
“Saya percaya pada rezeki masing-masing. Saya tak pernah rasa takut menjadi pelakon pembantu, masa muda memang saya akui sentiasa mengharapkan jadi pelakon utama.

“Sekarang ramai pelakon baharu yang berbakat, berilah peluang kepada mereka. Macam saya sudah puas bawa watak utama, jadi apa lagi yang nak dikejarkan,” katanya.
Paling utama kata bekas pramugara itu, perlu ada keikhlasan dalam menggalas setiap watak tidak kira peranan utama atau tambahan.
“Sebenarnya kuncinya adalah ikhlas dalam bekerja, insya-Allah watak dibawa akan berjaya dan berkesan di hati penonton.
“Pada akhirnya, watak utama atau tidak itu belakang kira, yang penting kepuasan kita sebagai seorang pelakon.
“Buat kerana minat dan bersungguh-sungguhlah menggalas watak diberi kerana itu adalah tanggungjawab,” tuturnya serius.
Bawa watak putih
Mengulas mengenai perkembangan karier seni, Nazim kini sedang menghangat dalam drama berjudul Wanita Syurga yang bersiaran untuk slot Akasia di TV3.
Paling menarik katanya, dalam drama terbabit, dia menggalas watak seorang peguam syarie dan bukanlah karakter antagonis yang sering dimainkan.

“Tahun lalu, saya banyak melakonkan watak hitam dan saya akui sangat memenatkan, Tak mudah untuk singkirkan karakter tersebut daripada terbawa-bawa,
“Saya kalau lepas bawa watak antagonis yang berat, memang saya akan pergi bercuti untuk menenangkan diri dan pulihkan kembali dalaman saya.
“Jadi, untuk tahun ini saya nak berlakon lebih kepada watak ‘putih’ untuk mengimbangi versaliti karier saya,” katanya menutup bicara.
Selain Nazim, drama tersebut turut dibintangi pelakon lain seperti Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Marissa Yasmin.














