fbpx
ONCE MEKEL

Once Mekel bukan keldai politik Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIF berpolitik sejak beberapa tahun lalu, namun kemuncaknya adalah penyertaan penyanyi Once Mekel sebagai calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia, Februari lalu.

Bertanding bawah tiket Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), bekas vokalis Dewa 19 itu bertanding di kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat.

Bukan dipergunakan

Tidak berasakan populariti sebagai anak seni sejak tiga dekad lalu dipergunakan parti diwakili, Once sebaliknya yakin, bukan satu kesalahan untuk dia menggunakan kelebihan dimiliki bagi menarik pengundi.

“Bukan saya saja anak seni yang aktif berpolitik atau pernah duduk di dalam Parlimen, kerana kami juga ada visi dan misi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Indonesia.

Once mengakui berdebar menghitung hari menunggu keputusan Pemilu yang bakal diumumkan pada 20 Mac ini.

“Sebagai penyanyi dan pemuzik, fokus saya nanti turut meliputi karyawan seni dalam pelbagai bidang, termasuk kru belakang tabir serta profesion sokongan lain.

“Suara saya nanti akan mewakili semua lapisan masyarakat yang pastinya dambakan kualiti terbaik dalam aspek kehidupan, ekonomi dan sosial,” katanya ketika ditemui dalam kunjungan khas ke Kuala Lumpur, baru-baru ini

Bertempat di Hotel Grand Hyatt, pemilik nama lengkap Elfonda Mekel itu sebenarnya diterbangkan bagi sesi bersama media bersempena konsert Trio Terhebat Vol. 1 menampilkan dirinya bersama penyanyi Marcell dan Bams Samsons pada 4 Mei depan.

Debaran Pemilu

Selain persembahan mega yang bakal berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tersebut, debaran Once berganda menunggu tarikh pengumuman Pemilu yang dijadualkan pada 20 Mac ini.

Pemegang ijazah undang-undang itu bagaimanapun berkata, sama ada kalah atau menang, misi memperjuangkan nasib rakyat Indonesia tidak mungkin terpadam.

 

Tampak bersemangat memperincikan satu per satu perancangan andai dipilih, Once bersedia mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepuasan peribadi.

“Nyanyian dan muzik sudah menjadi darah daging, tetapi andai diberi mandat saya akan bekerja untuk semua anggota masyarakat seperti yang sudah dijanjikan.

“Urusan persembahan juga seiring, mungkin nanti sambil bertemu dan melaksanakan kerja, saya dapat berkongsi kecintaan muzik dengan mereka,” ujarnya sambil tersenyum.

Tersusun patah bicara, Once juga tenang menjawab persoalan berhubung momokan dunia politik yang serba kejam dan sarat unsur kotor, termasuk korupsi.

Berprinsip

Katanya, tidak hanya orang politik boleh terjebak ke kancah negatif, Once percaya setiap individu pasti berdepan ujian.

Tinggal lagi katanya, hanya prinsip yang menjadi benteng menghalang seseorang terjerumus ke lorong gelap.

“Semuanya berbalik kepada diri sendiri. Jika kita buka peluang, anasir jahat akan mudah bersarang. Saya punya prinsip,” tambah figura kelahiran Makassar itu.

Jika kelak bergelar ahli politik, bekerja menguruskan hal hak cipta dan undang-ungang, Once berjanji akan tetap terbabit dalam bidang muzik.

“Saya suka baca sejarah. Sebagai anak seni yang juga sudah lama terbabit dalam karier ini, banyak perlu diperjuang terutama dari segi hak cipta dan undang-undang untuk terus membangunkan industri kreatif Indonesia.

“Saya sentiasa mahu perjuangkan hak artis, sementelah ada ijazah undang-undang dari Universiti Indonesia,” katanya.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata, industri seni dan kreatif harus dipacu sebaiknya. Dia berharap golongan penggiat seni juga peka mengenai hak cipta.

Menyentuh hal keluarga, Once juga terbuka bercerita soal pengkritik paling jujur terhadap persembahan iaitu anaknya sendiri, Manuel Mekel, 17.

Agenda politik bekas vokalis Dewa 19 itu adalah memperjuangkan isu hak cipta dan hak penggiat seni sebagai antara penyumbang ekonomi negara.

“Pengkritik paling jujur itu anak saya, Manuel Mekel atau Nuel. Dia juga seorang pemuzik dan mempunyai pendengaran yang bagus, lebih bagus daripada saya.

“Nuel dan isteri saya, Ima sama-sama berjiwa pemuzik, malah mereka cekap dalam mendengar setiap nada, terutama Neul yang turut pandai bermain gitar, keyboard, piano dan dram.

“Dahulu Nuel menyanyi, tapi sekarang tidak lagi sebab dia lebih suka main gitar dan cipta lagu. Malah, sudah ada band sendiri juga,” katanya yang berbangga dengan pencapaian puteranya.

Pelantun Dealova itu juga berharap anaknya, Nuel bergelar pemuzik yang baik suatu hari nanti.

“Hakikatnya mempunyai anak yang berkecenderungan serupa itu bonus. Dia membuatkan saya sentiasa ingin jadi contoh terbaik.

“Jika kami bekerjasama mungkin selepas dia lebih dewasa tetapi sebenarnya sebelum ini dia terbabit dalam pembikinan album saya.

“Nuel main keyboard, perkusi dan memang, sebab dia anak saya. Begitu juga isteri. Dia pandai menyanyi dan lebih baik daripada saya kerana ibu bapa mentua memang penyanyi dan pemuzik terkenal di Indonesia,” kongsinya sambil tertawa.

Tidur tujuh jam

Ditebak mengenai rutin penjagaan suara dan stamina pada usia 54 tahun, Once akan berjoging serta tidur mencukupi selama tujuh jam setiap.

KONSERT Trio Terhebat Vol. 1 menggandingkan Once, Marcell dan Bams akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 4 Mei depan.

“Amalan saya adalah pastikan tidur kena cukup dan berlari 45 minit bagi mendapatkan stamina. Soal makanan, saya boleh makan apa saja kecuali sebelum persembahan tidak akan ambil makanan berminyak,” ujarnya.

Sebagai persediaan sebelum konsert, Once banyak menonton persembahan penyanyi lain sebagai inspirasi selain mengikuti semula persembahan sendiri bagi mengenal pasti kekurangan yang pernah dilakukan.

“Saya mahu buat yang terbaik kerana mahu penonton yang datang ke konsert benar-benar terhibur dan mendapat kepuasan diinginkan mereka.

“Saya berharap konsert Trio Terhebat Vol. 1 mendapat sambutan baik,” katanya yang turut teruja untuk beraksi di sisi Bams dan Marcell.

Menjelang malam konsert anjuran Arena Muzik dengan sokongan Icon Entertainment tersebut, Once bakal menyanyikan 10 buah lagu daripada album solonya, termasuk Dealova, Ku Cinta Kau Apa Adanya, Simfoni Indah dan Matilah Kau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN