SUDAH menjadi rutin buat Mohd. Halim Mohamad Zaid, 45, untuk masuk ke kawasan Pos Balar yang terletak di Gua Musang, Kelantan pada setiap minggu.
Tujuan utama dia masuk ke kawasan itu adalah untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya iaitu memberi pendidikan kepada anak bangsa.
Dia yang juga dikenali sebagai Cikgu Ben Zaid merupakan salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak di kawasan paling pedalaman di negeri Che Siti Wan Kembang itu.
Mengajar di kawasan pedalaman ternyata memberi satu pengalaman baharu buatnya.
Sebelum ini, dia mengajar di sebuah sekolah di Klang, Selangor selama 13 tahun sebelum bertukar ke SK Balar.
Untuk sampai ke sekolah berkenaan, dia perlu mengharungi laluan permukaan off-road sejauh 60 kilometer (km) demi mencurahkan ilmu kepada anak-anak Orang Asli Suku Temiar di situ.
“Pertama kali saya masuk ke sekolah ini adalah dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Keadaan jalan untuk sampai ke sekolah pada ketika itu sangat ekstrem disebabkan musim hujan.
“Masa perjalanan adalah hampir lapan jam,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambahnya, kos untuk masuk ke kawasan itu dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda adalah sebanyak RM500 sehala.
Namun, harganya boleh meningkat lebih daripada itu pada musim-musim tertentu.
Bagi membolehkannya pulang lebih kerap bertemu keluarga di Kota Bharu, Cikgu Ben Zaid akhirnya memutuskan untuk menggunakan motosikal meskipun harus melalui jalan sukar.
Dia tidak berseorangan, malah ramai lagi guru yang mengajar di sekolah itu turut menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama bagi membolehkan mereka keluar dan masuk ke kawasan tersebut.
Menurut Cikgu Ben Zaid, sepanjang hampir empat tahun bertugas di SK Balar, dia dan guru-guru lain akan memulakan perjalanan menuju ke sekolah dari Kuala Betis di Gua Musang.
“Jarak menuju ke sekolah hampir 60 km dan kami akan melalui kawasan ladang terlebih dahulu sekitar 25 km dan selebihnya adalah hutan tebal.
“Tempoh perjalanan juga bergantung kepada keadaan cuaca.
“Masa paling lama pernah kami ambil adalah hampir 12 jam untuk sampai ke sekolah,” ujarnya.

Kebiasaannya, guru-guru di sekolah itu akan keluar pada petang Khamis untuk pulang bertemu keluarga dan masuk kembali pada Sabtu.
Perjalanan ke SK Balar dengan menggunakan motosikal bukanlah sesuatu yang mudah.
Ujarnya, setiap guru perlu berhadapan dengan risikonya yang tersendiri.
Menjelaskan tentang perkara tersebut, Cikgu Ben Zaid berkata, terdapat beberapa jalan yang mereka boleh pilih untuk menuju ke sekolah berkenaan dan setiap laluan ada risikonya.
“Ada jalan, kami perlu lalui kawasan sungai. Jika musim hujan, air sungai akan menjadi besar dan kami tidak boleh ikut jalan itu.
“Pilihan lain yang ada adalah laluan tepi lereng bukit. Namun, di sebelahnya ada gaung,” terangnya.
Dalam perjalanan menuju ke sekolah, para guru berkenaan tidak boleh mengharapkan mereka akan sentiasa selamat.
Ini kerana, apabila melalui jalan hutan, banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.
Ketika musim hujan, mereka harus menempuh jalan berlumpur sehingga paras lutut dengan hanya menggunakan motosikal kapcai yang telah dilakukan sedikit pengubahsuaian.
“Ada kejadian di mana akar rotan yang berduri terjuntai dan tersangkut di leher.
“Malah, ada rakan saya yang terkoyak isi terkena akar rotan tersebut.
“Begitu juga keadaan air sungai, ada ketikanya ia menjadi terlalu besar. Jadi, kami perlu tunggu air surut terlebih dahulu.
“Jika kami redah juga, mungkin bahaya akan menanti,” terangnya.
Pada masa sama, Cikgu Ben Zaid turut berkongsi kisah menempuh perjalanan sukar untuk pergi dan balik ke sekolah di media sosial sehingga digelar oleh netizen sebagai ‘Cikgu Off-road’.
Malah, dia mempunyai lebih 166,000 pengikut di aplikasi sosial, TikTok.
Berbicara tentang kandungan yang dihasilkan di media sosial itu, Cikgu Ben Zaid menjelaskan, dia sekadar ingin berkongsi pengalaman dengan orang ramai di luar sana.
“Tidak semua orang boleh merasai pengalaman ini. Jadi, saya mengambil peluang ini untuk menunjukkan rutin yang dilalui oleh cikgu-cikgu yang bertugas di kawasan pedalaman.
“Melalui kandungan ini, saya mahu orang ramai tahu betapa besarnya pengorbanan guru di kawasan pedalaman untuk mencurahkan ilmu kepada anak muridnya,” jelasnya.
Tambahnya, ada guru-guru di pedalaman yang harus menempuh perjalanan lebih sukar daripadanya untuk sampai ke sekolah terutamanya mereka di Sabah dan Sarawak.
Menariknya, usaha Cikgu Ben Zaid menghasilkan kandungan perjalanan menuju ke sekolah pedalaman turut mendapat perhatian Aveta Malaysia iaitu syarikat tempatan yang terlibat dalam pemasangan dan pengedaran motosikal Aveta.
Syarikat itu telah menghadiahkan tiga unit motosikal Aveta Ranger Max Explorer kepada Cikgu Ben Zaid dan dua rakan pengajarnya dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini.
Sementara itu, Cikgu Ben Zaid menjelaskan, mendidik para pelajar di Pos Balar merupakan tanggungjawab istimewa yang sanggup oleh diterimanya.
Malah, dia sendiri tidak menafikan ada pelbagai cabaran yang mereka hadapi sepanjang perjalanan.
“Pendidikan amat penting bagi membolehkan semua rakyat Malaysia tidak kira di pelosok daerah mana pun turut serta dalam kemajuan dan kemakmuran negara ini.
“Inilah yang menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada saya untuk menyahut cabaran berkenaan.
“Saya terhutang budi kepada pengikut saluran media sosial yang menyebarkan misi saya kepada Aveta Malaysia.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan.
“Semestinya, sumbangan ini akan membantu memenuhi tanggungjawab kami sebagai tenaga pengajar,” jelasnya.
Sementara itu, Cikgu Ben Zaid mengakui, ciri-ciri istimewa yang terdapat pada motosikal Aveta akan menjadikan perjalanan mereka berulang-alik ke sekolah menjadi lebih lancar.
“Jentera ini menampilkan kerangka tulang T berganda yang ringan dengan reka bentuk dipatenkan khusus untuk memberikan jaminan pengendalian dan kestabilan tunggangan di atas pelbagai permukaan jalan.
“Di samping itu, kapasiti muatan yang lebih besar membolehkan saya dan rakan-rakan membawa peralatan serta bekalan untuk anak-anak murid kami nanti,” jelasnya.
















