BMW Malaysia ketika acara Premium Auto Care Expo (PACE) 2023 di Pusat Konvensyen Setia City pada November lalu telah mempamerkan model kenderaan elektrik (EV) sedan terbaharu mereka, i5.
Untuk pengetahuan semua, tanda i pada permulaan model BMW menandakan model berkenaan ialah sebuah EV, seperti etron untuk Audi dan EQE untuk Mercedes Benz.
Baru-baru ini, penulis telah dipelawa BMW Malaysia untuk memandu uji model sedan dengan rekaan malar segar ini selama tiga hari.
Sejak diperkenalkan pada November lalu, penulis suka dengan rekaaannya kerana bagi saya ia sebuah sedan yang tidak terlalu ketara rekaan sebuah EV yang pada kebiasaannya sangat futuristik.
Rekaan depannya masih mirip sebuah BMW dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), manakala sebelah sisinya, hadir dengan rim BMW Individual bersaiz 21 inci dan hanya belakang yang nampak EV kerana tanda nama i5.
Dari segi ukuran, panjang keseluruhan kereta ini ialah 5,060 milimeter (mm), lebar (1,900mm), tinggi (1,515mm) dan jarak antara roda mencapai 2,995mm.
Lampu LED menegak menghiasi lampu utama dapat mencipta identiti tersendiri sama ada waktu malam atau siang.
Jeriji gril signatur ‘kidney grill’ BMW ini mendapat inspirasi rekaan bentuk ‘sharknose’ yang ikonik sebelum ini.
BMW i5 eDrive40 M Sport juga menawarkan ruang simpanan belakang bersaiz 490 liter.

Sedan EV ini menggunakan bateri berkapasiti 83.9kWh membolehkan kereta ini bergerak sejauh 582 kilometer (km) mengikut WLTP.
Bagaimanapun, jarak ini turut bergantung kepada corak pemanduan seseorang.
Kuasa yang dihasilkan daripada bateri itu 250kw atau 340hp. Tork tertinggi mampu mencecah 430Nm dengan Sport Boost.
Sport Boost yang menjadikan pemanduan lebih ‘pick up’ ini antara ciri-ciri menarik yang penulis suka. Pedalnya terletak di tempat paddle shifter kalau kereta ICE. Sesekali pakai melekat juga penulis di tempat duduk.
Kadar pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya 6 saat dan kelajuan maksimum di atas kertas ialah 193km/j.
Sistem pengecasnya menawarkan pilihan pengecasan DC berkuasa tinggi yang boleh mencapai sehingga 205kW dengan pengecasan pantas sehingga 80 peratus dalam masa 34 minit sahaja.
Selain itu, pengecas AC 11kW pada model ini boleh mencapai kapasiti bateri 100 peratus dalam masa 8 jam dan 15 minit sahaja, memberikan pengalaman pengecasan yang mudah dan serba boleh untuk pemandu.
Penulis difahamkan, bunyi ketika memandunya dipanggil Iconic Sound Electric yang dihasilkan oleh komposer muzik filem terkenal, Hans Zimmer.

Bunyi-bunyi ini akan bertukar mengikut mood yang boleh dipilih dengan menekan butang My Mode di konsol tengah.
Masuk ke ruang kabin, panel meter bersaiz 12.3 inci terletak di hadapan pemandu dan bersebelahan dengan skrin sistem infotainment bersaiz 14.9 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar.
Sistem audio pula daripada Bowers & Wilkins dengan menawarkan 18 speaker dan output amplifier 655 watts.
Kesimpulannya, bagi penulis, model sedan EV jenama mewah ini sesuai digunakan sebagai kereta syarikat dan juga kereta keluarga.
Rekaan yang menarik dan sebagai sebuah sedan lebih menonjolkan ciri premium. Jika dibandingkan dengan model i7 yang terlalu canggih sehinggakan pintu boleh dibuka sendiri, model ini berada di tengah-tengah bagi penulis.
Pemanduannya juga tidak sukar kerana banyak ciri membantu untuk memandu sebuah sedan sebesar ini. Secara keseluruhan, model ini sebuah EV sedan yang menarik dari segi rekaan dan pemanduan. Daripada 10 bintang saya bagi lapan bintang untuk BMW i5 eDrive40 M Sport.














