JERANTUT – Keris panjang milik pembesar Melayu yang ditemui selepas terbenam selama ratusan tahun di Sungai Pahang baru-baru ini dikatakan milik Panglima Khatib Hitam dan ia mempunyai ‘kembar’ dari Temerloh.
Hamidi Yaakob, 43, berkata, sejak berita mengenai penemuan keris itu di Kampung Kelola, Pulau Tawar di sini tersebar, dia telah didatangi ramai pihak termasuk waris panglima tersebut dan mereka membawa sebilah sundang warisan keluarga yang seakan sama bentuk dan saiznya.
Katanya, keris itu dibawa oleh waris panglima, Abdul Rahman Ahmad, 62, untuk mencari persamaan.
“Banyak persamaan dari segi bentuk dan ukuran cuma yang ditemui itu sedikit pendek kerana karat dan terlalu lama terendam dalam sungai. Selepas diamati ia lebih kepada sundang,” katanya ketika ditemui di sini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan keris panjang itu yang dipercayai milik pembesar Pahang ditemui seorang nelayan ketika menjaring ikan di Sungai Pahang.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dia terus teruja untuk bertemu dengan Hamidi sebaik terbaca kisahnya melalui Kosmo!.
“Sundang dalam simpanan saya merupakan warisan daripada arwah bapa, Ahmad Sulaiman yang pernah menjadi penghulu di Ulu Cheka, Kechau dan Bangau di Temerloh.
“Arwah ayah ada kata sundang itu ada kembar milik moyangnya, panglima Khatib Hitam iaitu pembesar istana ketika era kebangkitan Kesultanan Pahang Moden,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Khatib kemudian hilang tanpa berita ketika bertugas di Jerantut dan Lipis.
“Saya harap sundang itu dijaga dengan baik dan elok juga jika dibuat ulu serta sarungnya. Senjata warisan merupakan akar budaya dan semangat jati diri orang Melayu,” katanya.















