GEORGE TOWN – Orang ramai sanggup bersesak hampir berjam-jam ke destinasi tumpuan pelancongan di negeri ini demi memanfaatkan percutian bersama keluarga pada minggu terakhir cuti persekolahan, semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi utama di sebelah pulau mendapati, kenderaan luar mula memasuki pusat bandar George Town sejak pagi kelmarin sehingga lewat malam dan berterusan sehingga semalam.
Seorang pengunjung dari Negeri Sembilan, Ashraf Ali, 46, berkata, dia memilih percutian pada saat akhir selama tiga hari empat malam ke Pulau Pinang kerana mahu manfaatkan masa berharga bersama isteri dan empat anaknya.
Menurutnya, percutian yang singkat sebelum sesi persekolahan 2024/2025 bermula Isnin depan dikatakan lebih ‘terasa’ nikmat berbanding pada awal musim yang lalu.
“Bercuti saat akhir sememangnya seronok walau terpaksa berdepan cabaran jalan sesak sehingga hampir berjam-jam.
“Kehadiran orang ramai di satu lokasi tumpuan contohnya di Padang Kota Lama, Persiaran Gurney atau Chowrasta membuatkan percutian jadi lebih mencabar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Johor, Aishah Ahmad, 41, pula berkata, cuaca panas yang melanda ketika ini tidak menjadi alasan untuk dia bersama keluarga meluangkan masa bercuti pada minggu terakhir cuti persekolahan.
“Dalam keadaan cuaca panas, kami tiada pilihan untuk membawa anak-anak bercuti ke negeri ini meskipun terpaksa memilih tempat yang tertutup atau dalam bangunan.
“Kami hanya akan keluar ke tempat terbuka termasuk ke tepi pantai pada waktu malam walaupun tahu malam lagi ramai orang,” ujarnya.
Dalam pada itu, kakitangan kerajaan, Juliana Jalil, 43, berkata, dia memilih bercuti pada minggu akhir kali ini memandangkan anak sulungnya baru selesai menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.
“Kami tidak mahu ganggu tumpuan anak ulang kaji belajar, jadi habis sahaja SPM kami bawa sekeluarga bercuti.
“Ramai juga ibu bapa yanag anak ambil SPM akan buat macam kami, ada seminggu cuti, guna sebaiknya,” jelasnya.















