HULU TERENGGANU – Kenaikan caj masuk ke Santuari Kelah yang merupakan antara tarikan utama Tasik Kenyir sehingga 50 peratus berkuat kuasa kelmarin mengejutkan pengunjung dan juga pemain industri pelancongan itu sendiri.
Berdasarkan pengumuman Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), harga baharu ke Santuari Kelah di Sungai Pertang adalah RM45 bagi dewasa, kanak-kanak (RM20), manakala warga emas (RM30) pada Khamis hingga Ahad serta cuti umum dan persekolahan.
Caj sebelum ini iaitu RM30 dewasa, kanak-kanak (RM15) dan warga emas (RM20) pula kekal pada hari Isnin hingga Rabu di luar musim cuti persekolahan serta cuti am.
Seorang pengunjung, Latifah Abd. Rahman, 59, terkejut dengan kenaikan harga tiket masuk ke Santuari Kelah dan menganggap ia membebankan terutama pelancong yang berkeluarga ramai.
Dia mengakui Santuari Kelah antara lokasi pelancong menarik dan sesuai untuk aktiviti sekeluarga termasuk kanak-kanak.
“Dengan kenaikan caj kemasukan terlalu tinggi dan mendadak, ia boleh membunuh minat ramai untuk mengunjunginya.
“Bayangkan sebuah keluarga dengan dua anak kecil sahaja perlu membayar RM130 untuk memasuki Santuari Kelah, apatah lagi yang memiliki ahli keluarga lebih ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini semalam.
Santuari Kelah telah dibuka sejak 2008 dan pada 2020, tiket kemasukan cuma RM10 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak, tidak termasuk perkhidmatan transit bot dan makanan ikan.
Latifah mendakwa, kos itu tidak termasuk perkhidmatan bot laju untuk memasuki santuari tersebut yang menelan belanja lebih RM200.
Katanya, caj kemasukan sehingga RM45 seorang juga bagaikan tidak berbaloi kerana setiap kumpulan hanya dibenarkan bermain dengan kumpulan ikan kelah di santuari itu dalam tempoh 30 minit sahaja.
Seorang pengusaha bot laju, Mohd. Mokhtar Abdul Rahman, 59, mengakui secara peribadi kurang bersetuju kenaikan caj kemasukan ke santuari tersebut yang disifatnya terlalu tinggi.
“Kenaikan ini diumumkan tanpa sebarang pemberitahuan awal apatah berunding dengan kami pemain industri Tasik Kenyir.
“Saya mewakili 40 pengusaha bot laju di Tasik Kenyir risau perkembangan terbaharu ini akan menurunkan kehadiran pelancong, sekali gus menjejaskan periuk nasi kami,” dakwanya.














