KUALA NERUS – Surau Buluh yang terletak di Kampung Banggol Tiang Kulat di sini yang diperbuat daripada buluh menjadikan tarikan terbaharu bagi pengunjung luar ke daerah ini terutama menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pengarah Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Abdul Rafa Tan berkata, surau yang mula dibina pada tahun 2021 itu merupakan rumah ibadat Islam pertama di Asia yang diperbuat daripada bahan berasaskan buluh.
“Surau Buluh ini dibina sebagai projek kajian dan pembangunan (R&D) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk mempromosi buluh sebagai bahan binaan.
“Hampir 80 peratus struktur binaan diperbuat daripada buluh, manakala baki 20 peratus pula menggunakan konkrit iaitu pada bahagian tapak dan tembok asas pemegang tiang utama bangunan,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui baru-baru ini.
Abdul Rafa berkata, empat jenis buluh digunakan untuk pembinaan surau unik iaitu betong, semantan, brang dan mata rusa.
Jelas beliau, apa yang menariknya apabila kesemua spesies buluh tersebut terdapat di Terengganu.
“Penggunaan buluh pada struktur utama surau ini memberi keunikan pada reka bentuknya yang memaparkan keindahan warisan seni bina tradisional Melayu.
“Surau yang seluas lebih 232.26 meter persegi ini boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.
Abdul Rafa berkata, Surau Buluh mempunyai kubah terbuka yang boleh ditutup dengan dinding mudah buka.
Beliau berkata, surau berkenaan turut dilengkapi kemudahan ruang wuduk, tandas, pejabat dan stor simpanan.
“Selain sebagai rumah ibadat untuk penduduk setempat, Surau Buluh juga bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Terengganu.
“Pengurusan surau pula telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus baru-baru ini,” katanya.














