fbpx
NINA menjaja aib dan mereka fitnah tentang suaminya kepada jiran-jiran tetangga. – gambar hiasan

K2

Suka buka aib suami kepada jiran tetangga punca diceraikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“JIKA dapat diundurkan masa dan pilihan lain ketika itu, saya tidak akan sesekali memperisterikan dia. Saya cukup serik dan kesal mengenalinya.”

Itu antara luahan Saiful (bukan nama sebenar) kepada K2 saat berkongsi kisah kegagalan rumah tangga yang dibina beberapa tahun lalu.

Bagi Saiful yang merupakan anak jati Tangkak, Johor berusia 40 tahun, dia betul-betul menyesal mengenali bekas isterinya itu, namun semuanya ibarat nasi sudah menjadi bubur.

Perkenalan singkat bersama Nina (bukan nama sebenar) bermula dengan dipertemukan di media sosial hinggalah cinta berputik dan mereka sepakat mendirikan rumah tangga.

Akui Saiful, meskipun isterinya jauh 10 tahun lebih muda daripada usianya, namun itu bukan penghalang kerana dia percaya wanita kebiasaannya cepat matang berbanding lelaki.

Katanya lagi, Nina yang berasal dari Cheng, Melaka merupakan anak bongsu dalam keluarganya dan dia juga pernah dipesan oleh kedua-dua orang tua isterinya agar banyak bersabar selepas memperisterikannya kelak.

“Waktu itu, saya tidak berapa jelas apa yang cuba dimaksudkan ibu bapa Nina itu. Apa yang saya fikir, mungkin jadi suami nanti kena banyak bersabar sebab nak menjaga isteri.

“Dari satu sudut pandangan mata saya sendiri, Nina ketika itu merupakan seorang wanita yang cukup sempurna dan pandai menambat hati,” katanya.

Diringkaskan kisah, Saiful yang bertugas sebagai pegawai bank di Muar berkata, selepas berkahwin, dia membawa Nina tinggal menyewa di sebuah taman perumahan.

Ujarnya, Nina ketika itu memang tidak bekerja dan dia juga tidak mahu Nina bekerja. Baginya, biarlah menjadi suri rumah sahaja dulu.

“Beberapa kali juga isteri minta izin untuk dia keluar mencari kerja, tetapi saya larang kerana saya tidak mahu dia bersusah payah.

“Lagipun gaji bulanan saya cukup untuk kami berdua. Satu lagi sebab kenapa saya tidak mahu beri dia bekerja kerana saya ada perasaan cemburu yang begitu kuat,” tuturnya lagi.

Namun, setelah tiga tahun berlalu, beritahu Saiful, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Saiful begitu menyesal kerana berkahwin dengan seorang wanita yang gemar memburukkan suami di belakangnya.
– GAMBAR HIASAN

“Pun begitu, saya dan Nina tidak pernah berhenti mencuba dan terus mencuba untuk mendapatkan zuriat.

“Cumanya kami kurang percaya kepada perubatan moden dan lebih terarah cara tradisional. Macam-macam benda kami dah makan, dah amalkan, namun tetap belum dikurniakan cahaya mata,” katanya.

Masa berputar dan bersilih hari, Saiful pernah beberapa kali ‘terdengar’ mulut-mulut nista orang sekeliling yang mengumpat dia dan isteri yang masih belum dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin.

Beritahunya, kadangkala dia ada pernah singgah beli makanan atau minuman di gerai-gerai mahupun warung sekitar taman perumahannya itu, dan disitu jugalah cerita tidak baik mengenainya didengari.

“Ada sampai satu tahap, mak cik-mak cik peniaga di situ menanyakan saya yang saya ini mandul ke? Ada juga yang bagi tip dan minta saya periksa dengan doktor.

“Tidak setakat itu, ada juga jiran-jiran yang saya tidak begitu rapat dan datang di kedai sama bergosip sesama mereka mengenai diri saya yang kononnya kejam tidak mahu beri isteri keluar rumah bekerja.

“Sudahlah kejam, suami jenis apa, tak bagi isteri kerja, terpaling mampu nak bela anak orang, akhirnya Tuhan balas dengan mandul tak dapat-dapat anak,” ujar Saiful seperti apa yang diperkatakan kepadanya.

Cumanya yang menjadi persoalan, bagaimana mereka sesuka hati boleh mendakwa dan menjaja perkara tersebut tanpa usul periksa dan dari mana mereka mendapat perkhabaran kisah tidak benar itu.

Lama menahan sabar, barulah Saiful tahu bahawa isterinya Nina sendiri yang mereka cerita apabila seseorang menanyakan kepadanya betulkah apa yang dikata isterinya.

Rupanya isterinya yang menyebar fitnah dan meluah semuanya kepada jiran tetangga.

“Saya juga dapat tahu Nina ada grup WhatsApp bersama mereka yang ditubuhkan sendiri olehnya bertujuan untuk memburuk-burukkan saya sebagai suaminya.

“Pada masa sama, dia juga kerap pergi rumah ke rumah jiran di taman perumahan kami untuk bercerita dan menyebar fitnah tentang saya suaminya.

“Bila saya pulang kerja, dia berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.

Lama bersabar dan berfikir masak-masak hingga menyebabkan maruahnya tercalar dan fitnah tersebut sampai ke pejabat dan beberapa ahli keluarga terdekat, Saiful nekad menceraikan Nina dengan talak satu.

Selepas itu, Saiful mendapat tahu, sebelum ini, Nina pernah mendirikan rumah tangga, namun dipercayai diceraikan kerana sikap dan mulut jahatnya yang suka membuka aib suami sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN