SEREMBAN – Penduduk di Taman Jujur, Sikama di sini, mengakui sudah lali berkongsi kejiranan dengan warga Rohingya yang menjadikan taman perumahan tersebut sebagai perkampungan mereka.
Menurut penduduk, kehadiran warga Rohingya yang majoritinya memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu mula ketara sejak 2008, namun dipercayai penempatan tersebut sudah dihuni pelarian berkenaan sejak awal tahun 90-an lagi.
Seorang penduduk Ahmad, 50-an berkata, berdasarkan pemerhatiannya, dianggarkan lebih 1,000 warga Rohingya menetap di kawasan perumahan itu.
“Mereka datang ke sini masa kami solat Jumaat, senyap-senyap masuk ke taman perumahan. Bila ditanya datang sini dari mana, mereka kata datang dari Kelantan la, Johor la untuk tujuan ziarah saudara.
“Alih-alih menetap di sini terus. Mereka ini menyewa rumah penduduk dengan bayaran sekitar RM300 hingga RM500 sebulan dan ada kalanya menetap beramai-ramai dalam sebuah rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagi seorang lagi penduduk, Rosli, 40-an, apa yang mengejutkan terdapat sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan sebagai sekolah untuk anak-anak Rohingya.
“Tidak ramai yang belajar, ada lebih kurang 10 orang sahaja. Kami takut jika perkara ini dibiarkan, akhirnya mereka akan menguasai kawasan ini.
“Kadang-kadang jika rumah sebelah yang disewa mereka kosong, mereka sesuka hati menjadi rumah kosong itu sebagai penempatan. Lebih teruk lagi, ada yang berani melakukan penyambungan elektrik secara haram,” katanya.
Dalam operasi yang bermula pada pukul 10 malam itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), seramai 340 warga asing telah diperiksa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jalan Sikamat, Abdul Razak Zakaria berkata, pihaknya sudah mengemukakan aduan mengenai kewujudan sekolah tersebut kepada pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya.
“Jika dahulu, warga Rohingya ini ada yang membuat kebun dan pondok, namun semuanya sudah tiada.
“Mereka kini menyewa rumah penduduk dan ada juga berniaga dari rumah. Dalam operasi hari ini, pihak MBS telah mengambil tindakan menyita dan mengeluarkan kompaun kepada warga asing tersebut,” katanya.















