ALOR SETAR – Cuaca panas tahap dua sehingga mencetuskan gelombang haba di daerah Pokok Sena mengakibatkan penduduk setempat mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga kesihatan masing-masing.
Tinjauan di sekitar daerah tersebut mendapati penduduk berwaspada dengan mengurangkan aktiviti di luar rumah selain mandi dengan lebih kerap dan minum air putih secukupnya.
Seorang penduduk yang juga peniaga air bancuh di Jabi, Khairi Kamaludin, 32, berkata, cuaca panas kering yang melanda daerah itu lebih sebulan lepas sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan sehariannya.
“Memang panas sangat. Dua tiga hari ini semakin panas rasa macam kulit terbakar kalau lama-lama berada di luar.
“Sekarang saya mandi lima hingga enam kali sehari. Lepas subuh, pagi, tengah hari, petang dan malam kadang-kadang lewat malam pun mandi lagi sebab tak boleh tidur kerana rumah tak ada pendingin hawa,” jelasnya ketika ditemui semalam.
Tambah Khairi, dia dan anaknya yang masih kecil berumur enam dan dua tahun juga dimandikan lebih kerap bagi mengelakkan mereka mengalami dehidrasi atau deman.
Semalam MetMalaysia mengeluarkan status cuaca panas tahap dua (gelombang haba) bagi kawasan Pokok Sena sehingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Kenyataan itu turut juga menyebut terdapat 14 kawasan lain di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga) melibatkan Perlis serta Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang di Kedah.
Dalam pada itu menurut Khairi, cuaca panas itu juga menyebabkan dia terpaksa mengehadkan waktunya berniaga.

“Saya pilih berniaga dua waktu iaitu pagi, dari pukul 7 hingga 10 pagi dan waktu petang dari 2 hingga 6 petang.
“Di sini antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itulah puncak kepanasan,” katanya yang berniaga di tepi jalan dekat Jabi di sini.
Sementara itu, menurut seorang pekerja gerai buah-buahan di sini, Muhammad Faris Zainal, 22, cuaca panas menjadikan permintaan terhadap tembikai dan mempelam meningkat dalam kalangan penduduk setempat.
“Pelanggan kami orang-orang Pokok Sena juga selalu datang beli buah tembikai atau mempelam untuk buat jus kata
mereka.
“Setiap hari kami menjual antara 100 hingga 150 kilogram tembikai. Tembikai di sini masih murah hanya RM5 setiap kilogram walaupun permintaan tinggi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Asiah Ali, 60, berkata, dia dan keluarga terpaksa mengehadkan aktiviti di luar rumah sepanjang cuaca panas itu bagi mengelak masalah kesihatan lain.
“Kalau tengah hari, memang duduk dalam rumah sahaja. Kalau nak pergi pasar ke beli barang, kena awal pagi sudah keluar dan balik sebelum 12 tengah hari.
“Cuaca panas ini buat badan terasa lemah dan takut jatuh sakit sebab kurang air, jadi saya minum air putih lebih lapan liter setiap hari,” kata pesara swasta itu.














