PETALING JAYA – Tiada lagi istilah pakaian atau kelengkapan sekolah serba baharu bagi sebahagian besar ibu bapa terutama golongan B40 dan M40 bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Rata-rata ibu bapa memaklumkan persiapan persekolahan sekolah kali ini dibuat secara ala kadar dan lebih menumpukan pembelian buku sekolah, pakaian sukan termasuk baju pendidikan jasmani.
Difahamkan, ini kerana kos bagi pembelian buku untuk sekolah rendah berserta baju dan seluar sukan khususnya mencecah lebih RM150 seorang.
Dakwa mereka, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 cukup bagi pembelian kelengkapan pembelajaran utama, namun tidak cukup untuk menampung keseluruhannya.
Di Pulau Pinang, seorang pekerja swasta, Juliana Adnan, 43, berkata, pakaian seragam baharu bukan keperluan utama untuk tiga anaknya tetapi buku sekolah dan pakaian sukan perlu didahulukan.
“Kos beli buku dan pakaian sukan anak tahun 5 mencecah RM177.80, ini tidak termasuk yuran pendaftaran tadika untuk anak kecil berjumlah RM480 seorang dan persiapan sekolah dan asrama anak di tingkatan 3.
“Kali ini, saya memutuskan untuk tidak membeli uniform sekolah baharu untuk dua anak yang bersekolah rendah dan menengah termasuk kasut. Pakailah yang ada selagi muat kerana perlu memikirkan bajet sepanjang Ramadan nanti,” katanya semalam.
Sementara itu, operator kilang, Aishah Ahmad, 45, memberitahu, dia terpaksa membuat giliran dalam pembelian pakaian seragam dan kasut baharu untuk dua anaknya di tahun 5 dan tingkatan 4, setiap tahun.
“Tahun ini, saya hanya membeli sepasang kasut sekolah baharu untuk si adik, manakala si abang sepasang uniform sekolah.
“Buat tahun ketiga, anak-anak tidak dapat beg sekolah baharu.
“Kos sara hidup yang semakin tinggi menjadi punca kami terpaksa hadkan pembelian barangan sekolah anak-anak,” ujarnya.

Penjawat awam, Norhidayu Abdul Manaff, 47, mengakui kos perbelanjaan keperluan sekolah untuk tiga anaknya meningkat RM100 untuk setiap seorang berbanding tahun lepas.
Katanya, ia susulan kenaikan mendadak harga barangan persekolahan, antaranya kasut sekolah berwarna hitam yang dulu berharga RM35, namun sekarang naik kepada RM57 sepasang .
“Saya tak pernah beli yang berjenama untuk barangan persekolahan anak-anak saya. Terkejut bila keluar beli barang-barang sekolah, semua harga naik.
“Tak lama lagi nak raya juga, tidak tahu nak berjimat macam mana lagi,” jelasnya.
Menurut Norhidayu, dia bersyukur bayaran insentif RM2,000 yang diberi kerajaan kepada semua penjawat awam baru-baru ini banyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan.
Sementara itu, di Kedah, suri rumah, Noriza Salleh, 52, berkata, dia hanya membeli sepasang baju sekolah untuk empat anak masing-masing dua di sekolah menengah dan dua di sekolah rendah ekoran pendapatan suami yang bekerja sendiri tidak menentu.
“Tambahan lagi kami perlu menabung sedikit untuk kegunaan sepanjang bulan puasa dan sebagai persediaan hari raya nanti,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, suaminya, Nur Helmi Resat, 53, hanya menyediakan peruntukan kira-kira RM200 sahaja untuk setiap anak.
Bagi ibu tunggal, Salmah Juhari, 51, dia membuat persediaan secara sederhana apabila menggunakan kembali pakaian dan sebahagian peralatan persekolahan tahun lepas untuk tiga anaknya yang masih bersekolah.
“Anak-anak dipujuk untuk menggunakan kembali uniform lama dan hanya akan dibeli sepasang sahaja setiap seorang untuk sesi persekolahan baharu ini.
“Saya terpaksa merancang perbelanjaan dengan cara mendahulukan barang penting seperti buku dan alat tulis kerana tidak berkemampuan untuk membeli kesemuanya serentak,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini dengan peruntukan RM150, dia dapat membeli semua keperluan baharu untuk anaknya berbanding sekarang yang memerlukan hampir RM300 untuk berbuat demikian.














