KUALA TERENGGANU – Peniaga dan penjaja berlesen bagi bazar Ramadan di negeri ini bakal berdepan kenaikan kos sewaan tapak sehingga 30 peratus.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kadar sewaan tapak bazar itu melibatkan kenaikan antara RM150 hingga RM200.
“Kadar sewaan baru itu ditentukan syarikat kontraktor yang mendapat tender tapak bazar Ramadan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami mendapat maklumat yang caj sewaan bagi ahli persatuan pada tahun ini ialah RM800, manakala bukan ahli pula adalah RM900 sepanjang Ramadan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Zakaria berkata, sebagai perbandingan, kadar sewaan tapak bazar Ramadan di Terengganu pada tahun lalu bagi ahli persatuan dan bukan ahli masing-masing RM650 dan RM700.
Beliau juga menjangkakan kadar sewaan tapak bazar Aidilfitri yang berjumlah RM2,500 pada tahun lalu juga akan meningkat kali ini.
Sementara itu, seorang peniaga, Che Hisham Che Awang berkata, peningkatan kadar sewa tapak dan kenaikan kos bahan mentah memberi cabaran besar kepada mereka sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kami mungkin terpaksa menaikkan harga makanan jualan antara RM1 dan RM2 bagi menampung kenaikan kos operasi itu.
“Pilihan lain sekiranya kami mahu mengekalkan harga ialah dengan mengecilkan saiz atau kuantiti makanan,” katanya.














