SELEPAS lebih seminggu saingan Piala Asia 2023 menutup tirainya, pelbagai kejutan berlangsung sepanjang sebulan penganjuran kejohanan itu, malah ia tidaklah kurang hebatnya jika dibandingkan dengan aksi Euro mahu pun Copa America.
Keraian Qatar yang berjaya mengekalkan kejuaraan di tanah air sendiri selepas muncul juara pada edisi 2019 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini pastinya belum berakhir, malah kejuaraan itu sangat penting bagi mereka lebih daripada sekadar menjulang trofi berkenaan.
Ketika saingan Piala Dunia 2022 berlangsung di Qatar, pasukan tersebut dianggap gagal mencapai standard, mempamerkan aksi memalukan sehingga mereka dilabel sebagai pasukan tuan rumah yang paling gagal apabila tersingkir di peringkat kumpulan tanpa sebarang mata.
Bagaimanapun, kali ini kita bukan mahu membincangkan mengenai Qatar sebaliknya lawan mereka di final, Jordan yang langsung tidak dianggap sebagai pencabar kejuaraan.
Malah, sebelum kempen bermula hanya rakyat negara itu ataupun ‘orang gila’ sahaja yang percaya mereka mampu mara sejauh itu.
Pengendali Jordan, Hussein Ammouta dari Maghribi diberikan tanggungjawab untuk mengemudi pasukan itu dan dilantik kira-kira enam bulan sebelum aksi bermula, malah seminggu sebelum aksi membuka tirai, mereka dibelasah 1-6 oleh Jepun pada aksi persahabatan menyebabkan tidak ada sisa harapan diberikan.
Di sebalik kejayaan membelasah Malaysia 4-0 pada aksi peringkat Kumpulan E, Jordan sebenarnya hanya bernasib baik untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik apabila menjadi salah satu pasukan di tempat ketiga terbaik bagi melayakkan diri.
Mereka kemudian melepasi halangan Iraq sebelum membenam Tajikistan dan aksi paling epik dipamerkan ketika mereka merentap ego calon pilihan juara edisi kali ini, Korea Selatan di perlawanan separuh akhir.
Membantu Jordan meraih gelaran naib juara Piala Asia kali ini mungkin kejayaan buat Ammouta, namun kejayaan lebih besar yang dilakukannya adalah mengubah fundamental bola sepak yang dimainkan oleh pasukan itu secara keseluruhan.
Ammouta menukar corak permainan Jordan sebelum ini yang lebih gemar bertahan dan melakukan serangan balas pantas kepada penguasaan bahagian tengah, menekan dan memaksa pemain tengah lawan membuat kesilapan sebelum merencanakan serangan.
Malah, Ammouta dikatakan telah menggunakan tujuh ‘Peraturan Jose Mourinho’ dalam asas pembentukan gaya bola sepak baharu Jordan dengan meletakkan kepercayaan bahawa pasukan yang mampu menang adalah mereka yang paling sedikit membuat kesilapan.
Antara lain, peraturan Mourinho juga menyebut, apabila beraksi di tempat lawan adalah lebih baik memaksa mereka membuat kesilapan berbanding cuba menguasai permainan, selain itu apabila anda terlalu banyak memegang bola, peluang untuk membuat kesilapan akan meningkat.
Mourinho juga menyebut bahawa pihak yang menguasai bola akan sentiasa berada dalam ketakutan dan ketika itu anda berpeluang untuk melakukan sesuatu yang mampu mengejutkan mereka.














