fbpx
Robot-robot memasak daging burger dan keju.

Restoran guna robot, AI sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NUANSA dapur yang sibuk dengan pekerja menyediakan sajian pelanggan di restoran makanan segera sudah sinonim dalam operasinya setiap hari.

Tambahan pula, apabila restoran itu dikunjungi ramai pelanggan, suasana riuh manusia di dapur juga akan kedengaran dari kaunter pesanan.

Namun, segalanya bakal berubah apabila kecerdasan buatan (AI) mengambil alih operasi dapur dan menjadi penyedia makanan di restoran makanan segera.

Gambaran restoran masa depan itu kini direalisasikan di Amerika Syarikat (AS).

Restoran CaliExpress yang terletak di Pasadena, California, baru-baru ini didedahkan media-media AS sebagai restoran makanan segera pertama di dunia yang beroperasi sepenuh menggunakan robot dikuasakan AI.

Bermakna, cef atau tukang masaknya juga ialah robot.

Video-video pengoperasiannya telah bertebaran di ruang internet, namun restoran itu dijangka akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Restoran di bawah Cali Group itu bekerjasama dengan Miso Robotics untuk projek itu yang sebelum ini melancarkan stesen goreng berkuasa AI pertama di dunia dan PopID, sebuah syarikat teknologi yang menggunakan biometrik untuk membuat pesanan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PopID dan ahli lembaga Miso Robotics, John Miller, restoran ini diuruskan secara eksklusif oleh cef robot bernama Flippy yang menghidangkan sajian seperti burger dan kentang goreng.

“Robot Flippy yang dibuat oleh Miso Robotics di bawah syarikat induk Cali Group boleh membuat kentang goreng dan nuget ayam goreng.

“Robot ini bekerjasama dengan BurgerBot untuk membakar roti dan sistem pembayaran biometrik, PopID, untuk menerima pesanan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, restoran ini menggunakan beberapa teknologi paling inovatif yang tersedia pada masa ini untuk mengautomasikan sepenuhnya semua stesen goreng dan grilnya.

“Mengikut pengetahuan kami, ini adalah restoran pertama di dunia yang beroperasi dengan pesanan dan setiap proses memasaknya adalah automatik sepenuhnya.

“Perkahwinan pelbagai teknologi itu yang dilakukan untuk mewujudkan restoran paling autonomi di dunia ini adalah kemuncak penyelidikan, pembangunan dan pelaburan selama bertahun-tahun dalam keluarga syarikat revolusioner,” ujarnya.

Di CaliExpress, pelanggan akan disambut oleh integrasi AI dan sistem robotik yang lancar.

Stesen gril dan gorengan restoran akan diautomatikkan sepenuhnya oleh Flippy, robot berkuasa AI yang akan bekerjasama antaranya dengan robot gril Cucina bagi mengisar daging lembu serta-merta untuk pembuatan burger.

Teknologi ini direka bentuk untuk memastikan setiap kepingan daging burger baharu dan kentang goreng dimasak mengikut ketepatan. Ia menawarkan menu burger keju dan kentang goreng yang ringkas, namun premium pada harga yang kompetitif.

Menurut CBS News, Flippy dikatakan mampu membuat 250 paun (113 kilogram) kentang goreng dalam masa sejam dan robot gril boleh membuat 100 keping daging burger dalam satu masa.

Kongsinya lagi, penggunaan platform pengesahan biometrik PopID akan meningkatkan lagi pengalaman pelanggan.

PENGGUNAAN robot juga boleh mengelakkan risiko kecederaan manusia di dapur.

“Semasa ketibaan, tetamu boleh mendaftar masuk menggunakan akaun PopID mereka di kios pesanan sendiri, menerima pengesyoran pesanan yang diperibadikan dan memproses pembayaran dengan cepat dan mudah.

Sistem ini juga dilihat mampu memperkemas proses pesanan pelanggan.

Ujarnya lagi, bagi pekerja, persekitaran dapur autonomi menjanjikan ruang kerja yang lebih selamat dan cekap.

Pelaksanaan robot di stesen gorengan dengan ketara mengurangkan risiko kemalangan dapur biasa seperti tergelincir dan melecur.

Selain itu, teknologi ini menyumbang kepada pengurangan sisa dalam kedua-dua makanan dan minyak.

Dengan kru yang lebih kecil diperlukan untuk mengendalikan dapur, CaliExpress yang diketuai Flippy boleh menawarkan pengurangan tekanan persekitaran kerja yang sesak.

“Selama ini, di restoran-restoran makanan segera, pekerja-pekerja sering keluar masuk ke kawasan dapur gorengan dan gril. Ia satu tugas yang berbahaya, namun automasi ini dapat menyelesaikan masalah itu,” kata pemilik restoran itu, Vic Aulakh.

Selain menyajikan makanan, lokasi CaliExpress dilaporkan akan berfungsi sebagai ruang pendidikan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Miso Robotics, Rich Hull, Miso Robotics merancang untuk mempersembahkan restoran itu sebagai muzium pseudo, mempamerkan lengan robot Flippy yang telah bersara, artifak cetakan 3D daripada pembangunan masa lalu, paparan fotografi dan banyak lagi.

Matlamatnya adalah untuk memberi inspirasi kepada usahawan AI dan automasi dapur masa depan dengan sekolah tempatan dan kumpulan pendidikan dijemput untuk melawat kemudahan itu.

“Robot Flippy sebelum ini sudah berkhidmat dengan restoran CaliBurger sejak tujuh tahun lalu sebagai robot perkhidmatan pesanan.

“Evolusi ini merupakan sejarah yang mahu saya kongsikan, sekali gus menunjukkan manfaat teknologi terutama dalam industri makanan,” kongsinya.

Jelasnya, pihaknya menekankan potensi untuk dikuasakan AI dalam aspek pengambilan pesanan robotik dan memasak.

“Robot Flippy baharu CaliExpress ialah robot pertama dengan lengan mekanikal yang dipasang di rel yang boleh melakukan lebih banyak lagi.

“Pihak kami berbangga untuk bekerjasama dengan Kumpulan Cali dan PopID bagi menjadikan CaliExpress by Flippy satu realiti,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Flippy telah menjadi kisah kejayaan yang luar biasa dan semua orang di California boleh melihat dan mengalaminya sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN