fbpx
Gambar dirakam dari Rafah menunjukkan asap meliputi ruang udara bandar Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza selepas pengeboman Israel kelmarin. – AFP

Bilakah Gaza akan temui keamanan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tentera Israel terus bermaharajalela dengan melakukan pembunuhan ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza tanpa sebarang belas kasihan.

Pembunuhan itu dilakukan sejak 7 Oktober tahun lalu dan kini memasuki masa lebih 130 hari tetapi matlamatnya untuk menghancurkan Hamas yang memerintah Gaza masih belum tercapai.

Serangan itu tetap diteruskan walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda membuat penghakiman bahawa Israel perlu menghentikan genosid di wilayah Palestin itu pada 26 Januari lalu.

Namun, Israel masih menunjukkan kedegilannya dengan tidak menghentikan serangan dahsyat itu.

Situasi itu menyebabkan ICJ sekali lagi meminta Rejim Zionis supaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang telah mengorbankan lebih 28,000 penduduk dan lebih 60,000 lagi cedera di Gaza.

Kerakusan tentera Israel yang turut meranapkan lebih 70 peratus infrastruktur awam itu dilakukan tanpa sekelumit perasaan kemanusiaan ke atas penduduk Palestin.

Algeria yang perihatin dengan keadaan Gaza dan tidak tahan dengan sikap Israel itu kemudian meminta undian diadakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meminta gencatan senjata segera diadakan.

Bagaimanapun, seperti biasa, menurut laporan kelmarin, AS tanpa segan silu memberi isyarat jelas bahawa Washington akan memveto tindakan Algeria.

Sudah banyak kali negara ‘Uncle Sam’ itu memveto apa juga resolusi tentang Palestin yang dibawa untuk undian di Majlis Keselamatan PBB.

Sebelum ini hanya satu gencatan senjata berjaya dimeterai antara Israel dengan Hamas yang kemudian dilanjutkan selama beberepa hari lagi pada November tahun lalu.

Gencatan senjata yang diusahakan oleh Qatar, Mesir dan AS itu juga melibatkan pertukaran tahanan Palestin dengan tebusan Israel serta akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Semua kaedah penyelesaian itu setakat ini gagal menemui penyelesaian dengan ramai penduduk Gaza kini di ambang kematian ekoran kebuluran kerana ketiadaan bantuan makanan disalurkan kepada mereka.

Serangan Israel ke atas Gaza itu juga menyebabkan dunia terbahagi dengan kumpulan negara yang pro-Israel dan menyokong Palestin.

Apa yang pasti ialah kekejaman dahsyat itu berlaku ketika Israel berada di bawah pemerintahan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu.

Netanyahu yang berumur 74 tahun menjadi Perdana Menteri pada Disember 2022 melalui pakatan Parti Likud pimpinananya dengan parti-parti politik berhaluan kanan dan ultra nasionalis untuk menubuhkan kerajaan 331.

Situasi itu berlaku selepas Israel dilanda krisis politik kerana pilihan raya terpaksa diadakan lima kali hanya dalam tempoh empat tahun untuk mencari calon Perdana Menteri.

Beliau yang turut dituduh terlibat dengan rasuah pernah menjadi Perdana Menteri pada 1996 hingga 1999 dan 2009 hingga 2021 sebelum kali ketiga menjadi Perdana Menteri pada 2022.

Bagaimanapun, Netanyahu berhadapan dengan protes besar-besaran daripada sejumlah warga Israel di Tel Aviv, kelmarin. Mereka menuntut pilihan raya baharu diadakan kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinannya.

Adakah ketidaktentuan politik di Israel itu akan membuka jalan ke arah perdamaian di Gaza?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN