fbpx
Pelancong menerokai keindahan flora dan fauna Sungai Merbok dengan menaiki bot katamaran disediakan MPSPK.

Nikmati keindahan ‘sungai Kedah Tua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL pukul 8.30 pagi, seorang pemuda berasal dari Melaka, Mohd. Amirul Hafiz Mazlan, 26, dan beberapa rakannya yang teruja untuk menelusuri Sungai Merbok sudah tiba di pekarangan Kompleks Pelancongan Jeti Semeling, Sungai Petani di Kedah.

Mereka menempah tiket paling awal pada hari itu untuk melakukan aktiviti eksplorasi di sungai tersebut dengan menaiki perkhidmatan bot disediakan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Amirul yang bekerja di sektor swasta berkata, ia merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki di lokasi pelancongan itu meskipun sudah hampir tiga tahun bermastautin di negeri Jelapang Padi ini atas faktor kerja.

“Saya sering terpukau dengan keindahan dan kehijauan panorama Sungai Merbok setiap kali memandu menyeberangi Jambatan Semeling dan menyimpan hasrat untuk meneroka keindahan tersebut dengan lebih dekat.

“Jadi hari ini, saya bersama rakan-rakan datang ke sini untuk bersantai menaiki bot sambil menikmati keindahan di sini,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Tuturnya, sebagai anak kelahiran Melaka, pengalaman menelusuri Sungai Merbok sangat berbeza dengan pengalaman di Sungai Melaka.

“Sewaktu menelusuri Sungai Melaka kita dapat melihat pemandangan bangunan-bangunan bersejarah tinggalan Belanda dan tempat-tempat menarik di bandar raya Melaka.

“Manakala di Sungai Merbok kita dapat lihat keindahan flora dan fauna serta beberapa lokasi bersejarah berkaitan kewujudan kerajaan Kedah Tua,” ujarnya.

Sungai Merbok merupakan antara kawasan tarikan pelancong yang telah mendapat pengiktirafan Jerai Geopark pada tahun 2017.

Sungai tersebut merupakan sungai air masin atau dipanggil sebagai estuari yang terjadi hasil daripada aktiviti pasang surut air laut.

Tahap kemasinan air sungai membuatkan lembangan sungai itu amat subur dengan tumbuhan bakau dan lain-lain hutan paya laut.

Terdapat lebih 40 spesies bakau daripada 60 spesies bakau yang terdapat di seluruh dunia dapat dilihat di sepanjang sungai seluas 4,036 hektar.

Antara tumbuhan di situ adalah bakau kurap (Rezhopora micronata), bakau minyak (Rezaphora apiculata), perepat, lenggadai, kurma laut, piai lasa, kuku lang dan pelbagai lagi.

Ketua Bahagian Pelancongan MPSPK, Mohd. Farid Ismail berkata, menurut buku Sejarah Kedah oleh Haji Buyong Adil (DBP, KL, 1980) nama asal Sungai Merbok ialah Sungai Babur.

Salah satu lokasi menarik untuk bergambar di Kompleks Pelancongan Jeti Semeling.

Farid berkata, Sungai Merbok yang kelihatan pada hari ini adalah sungai yang terbentuk hasil daripada mendapan yang berlaku sejak ribuan tahun dahulu.

“Asalnya kawasan ini adalah satu teluk yang dikenali sebagai Teluk Merbok dan garis lautnya jauh sehingga ke Sungai Batu,” katanya.

Menurutnya, sejarah awal sungai ini adalah menjadi laluan kapal-kapal dagang yang menjadikan Gunung Jerai sebagai mercu tanda dan dahulunya kawasan ini khususnya di Sungai Batu menjadi pelabuhan entrepot yang sangat maju dengan perdagangan seperti rempah ratus, bijih besi, tembikar, sutera dan lain-lain.

“Sungai ini juga menjadi saksi kepada kewujudan kerajaan Kedah Tua apabila didatangi oleh Raja-Raja dari Dinasti Merong Mahawangsa (Raja Durbar) yang bertapak di Bukit Meriam dan sekitarnya,” terangnya.

Menurut Farid, bermula awal Januari tahun ini, perkhidmatan bot katamaran untuk aktiviti eksplorasi Sungai Merbok kembali beroperasi setelah hampir empat tahun perkhidmatan terhenti susulan pandemik Covid-19.

Katanya, pihak MPSPK telah menyediakan dua buat bot katamaran yang diberi nama Mahawangsa I dan Mahawangsa II dengan menawarkan pengalaman pelayaran selama satu jam 30 minit bermula dari Jeti Semeling hingga ke muara Sungai Petani sebelum berpatah balik ke jeti.

Jelasnya, pada pelayaran tersebut pengunjung dapat melihat lokasi bersejarah seperti Pulau Tiga, tapak istana Pulau Tiga dan Sungai Batu serta menikmati keindahan alamnya.

“Kita akan memberi penerangan menerusi rakaman audio mengenai sejarah kawasan terbabit di sepanjang pelayaran itu nanti.

“Contohnya, penerangan mengenai sejarah Pulau Tiga yang terdiri daripada tiga pulau iaitu Pulau Tok Kuning, Pulau Tengah dan Pulau Tiga,” katanya.

Ujarnya, di hadapan Pulau Tiga terdapat kawasan tapak istana yang merupakan pusat pentadbiran sementara pada zaman Sultan Kedah ke-21, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah.

“Istana ini telah musnah terbakar dalam satu serangan Siam pada tahun 1821 dan kini hanya tinggal tapaknya sahaja,” ujarnya.

Katanya, selain itu terdapat juga pelbagai aktiviti penduduk setempat yang dapat dilihat sepanjang pelayaran tersebut.

“Antaranya ialah aktiviti nelayan sungai, aktiviti menternak ikan dalam sangkar, menternak tiram dan mengusahakan nira nipah.

Menurutnya, hidupan di sungai itu pula terdiri daripada hidupan laut (air masin) seperti ikan belacak, siakap, jenahak, kerapu, ketam, udang dan lain-lain.

“Keseluruhan kawasan sungai ini juga menjadi habitat burung-burung seperti helang, bangau, kedidi, pekaka dan juga habitat unggas lain seperti kera, lutong, babi hutan, biawak dan sebagainya serta menjadi lokasi burung-burung hijrah yang berlaku sepanjang tahun di kawasan ini.

“Kita juga sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu ‘stop point’ untuk pengunjung melihat burung helang secara dekat dan merasai pengalaman memberi makan burung helang,” jelasnya.

Katanya, terdapat tiga sesi pelayaran yang ditawarkan setiap hari iaitu pelayaran pada pukul 10.30 pagi, 2.30 petang atau 5.30 petang.

“Bagi pengunjung yang mahu menikmati udara pagi, boleh memilih sesi pagi, namun jika ada pengunjung yang mahu melihat keindahan matahari terbenam, boleh memilih pelayaran pada waktu petang.

“Kadar bayaran yang dikenakan kepada warganegara ialah RM20 untuk dewasa, RM10 untuk pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), manakala kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah percuma,” katanya.

Menurut beliau, setiap bot boleh memuatkan 40 orang dalam satu masa dan jumlah minimum untuk setiap pelayaran adalah 20 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN