fbpx
AEDY mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai agar hubungannya dengan kekasih, Amelia Henderson berakhir ke jenjang pelamin.

Andai ada jodoh dengan Amelia, tentu saya kongsikan – Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBELAKANGAN ini dari satu perspektif, hanya kisah percintaan pelakon Aedy Ashraf dengan si jelita Amelia Henderson melatari portal hiburan mahupun media arus perdana.

Sama cantik sama padan, hakikatnya kerjaya Ashraf, 30, sama mencanak dengan satu per satu tawaran sebagai teraju utama diajukan kepadanya.

Baginya yang terjun ke arena hiburan sejak kanak-kanak, pertanyaan ramai mengenai hala tuju percintaan sebagai lumrah yang perlu dihadapi dengan tenang.

Tiada istilah rimas mahupun ‘panas’ diajukan persoalan berkenaan hal peribadi yang sejujurnya tidak perlu dihebahkan kepada orang luar.

Tak rimas

“Tak rimas pun. Saya faham peminat dan orang sekeliling tanya berkali-kali sebab ingin melihat hubungan kami terus berlangsung dengan baik-baik sahaja.

“Apa pun macam saya sebut sebelum ini, kita jalani kehidupan ini seadanya, paling penting kami saling menyokong dalam kerjaya dan kehidupan,” luahnya dengan tenang.

Ashraf enggan tergesa-gesa beralih ke fasa perkahwinan dengan kekasih, Amelia Henderson.

Cukup berhati-hati menyusun ayat, bagi pemilik nama lengkap Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, setiap laluan kehidupan didepani dengan rasional supaya tidak tercicir perkara penting.

Bahkan, selain keluarga dan peminat selaku penyokong utama, si manis yang selesa dipanggil Amy menjadi tulang belakang sejak mereka intim sekitar tiga tahun lalu.

Mengakui wanita berdarah kacukan itu bukan sekadar jelita, kebijaksanaannya turut memberi impak terhadap karier serta pandangannya terhadap setiap isu serta persekitaran.

“Dia seorang yang menyenangkan, mempunyai pendapat bernas dalam segala hal, sekali gus membolehkan kami serasi dan sekepala.

“Kami banyak berkongsi pandangan, walau kadangkala tidak sependapat, perbezaan sebegitu yang membuatkan kami juga dapat berinteraksi dengan baik.

“Soal membawa hubungan ini ke fasa seterusnya, itu belum lagi perlu dihebahkan. Andai ada, tentu saja dikongsikan, cuma terima kasih kepada yang mendoakan,” katanya sambil tersenyum.

Pemalu, introvert

Lebih teruja berkongsi cerita mengenai drama bersiri terbaru berjudul i.D yang menggabungkan mereka berdua, dalam bekerja, Aedy dan Amelia cukup profesional dengan tidak mencampuradukkan hal peribadi.

Kata Ashraf, kisah penipuan data peribadi orang ramai arahan Razaisyam Rashid antara naskhah yang ditunggu-tunggu apabila mencorakkan karakter berbeza dengan sisi dirinya yang sebenar.

Dalam kisah lapan episod itu, ditonjolkan watak Jazman sebagai anak muda yang kasar serta kaki perempuan, namun secara realitinya dia lebih introvert serta pemalu.

TERUJA dapat beraksi dengan kekasihnya, Amelia Henderson dalam naskhah berkisar penjualan data maklumat, sekali gus membolehkan mereka berkongsi pandangan dalam dunia lakonan.

“Sejujurnya saya seorang yang agak pemalu sehingga sukar memulakan perbualan tetapi selepas kenal dekat memang saya nampak berbeza.

“Berlakon di bawah arahan sutradara hebat seperti Razaisyam sebenarnya mencungkil sisi luaran saya yang berlawanan dengan karakter Jazman.

“Kisah mengenai jenayah siber membabitkan penjualan data peribadi kepada scammer juga adalah sesuatu yang digarap dengan terperinci dalam i.D,” ujarnya.

Bukan cerewet

Ditanya mengenai pemilihan karya serta watak diingini, aktor tinggi lampai itu menangkis dakwaan semakin cerewet menapis naskhah tertentu.

Ulasnya, dia enggan dicop gelojoh apabila mengaut sahaja tawaran yang datang atau cuma memilih bayaran besar.
Sebaliknya, setiap kata putus berpaksikan kepada kepuasan iaitu terbabit dalam produksi yang meninggal impak kepada khalayak serta dirinya sendiri.

“Saya sudah berada dalam industri ini sejak kecil, jadi seiring peralihan masa saya perlu tangkas menyusun karier supaya terus kekal releven.

“Ini bukan soal duit kerana dalam berkarya kita juga perlu tengok kesan lakonan, adakah bagi impak atau sekadar penuhi tawaran demi
wang?

“Saya pernah penuhi tawaran yang sedari awal tak tahu pun berapa bayarannya, tetapi tetap saya sambar kerana bintang yang disenaraikan,” tambahnya.

Idola

Berkongsi lebih lanjut, Aedy mendedahkan aktor senior yang dinanti-nantikan untuk bergandingan dengannya selama ini adalah Wan Hanafi Su serta Eman Manan.

TIDAK rimas sentiasa diasak mengenai hubungan cinta, Ashraf percaya orang ramai mendoakan yang terbaik untuknya dan Amelia Henderson.

Biarpun akhirnya mengetahui penerbitan itu berbajet kecil dan membayarnya sekitar RM2,500 untuk 10 hari penggambaran, tiada sesalan di hati.

“Semuanya berbalik kepada kepuasan kerana dalam berkarya saya masih puas dapat beraksi dengan pelakon handalan seperti mereka.

“Pengalaman begini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, kerana pada akhirnya kita dapat kepuasan selain melengkapkan portfolio dalam kerjaya.

“Saya tak mahu tidur malam saya terganggu atas penyesalan menolak peluang beraksi dengan nama sebesar mereka disebabkan bayaran kecil,” tambahnya.

Andai selepas ini ada produksi yang cuba menawarkan bayaran rendah disebabkan keterbukaan sikapnya, kata model terbabit perkara tersebut tidak dapat dihalang.

Namun, dia yakin penerbit dan pengarah cukup bijak menilai kredibiliti seseorang pelakon, bukan sesuka hati mahu mengambil kesempatan.

“Sejujurnya saya tak gentar dinilai rendah, mereka (produksi) lebih tahu menilai hasil kerja saya. Pada yang cuba ambil kesempatan, terpulanglah,” luahnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN