fbpx
HAMPIR tiga dekad berusaha keras membelah arus muzik perdana dengan rantaian lagu malar segar mengekalkan jenama, Liza Hanim terus ampuh berdiri menyebar alunan melankolik sepanjang konsert sulung Liza Hanim 27 Years Journey In Concert.

Pembuktian hebatnya Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SARAT nostalgia. Itu istilah tepat bagi menggambarkan persembahan ikonik Liza Hanim dalam konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang menghimpunkan penonton pelbagai lapisan usia, terutama audiens yang seiring era kegemilangannya.

Gelanggang Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan cemerlang konsert sulung Liza yang disambut gema suara pemujanya sebaik sang penyanyi membuka langkah menguasai pentas melunaskan impian lama terpendam.

Tempoh hampir tiga dekad berkarya dalam arena muzik tanah air sememangnya mematangkan membuatkan figura bersuara gemersik itu untuk berada dalam liga muzik tersendiri, bahkan sukar ditandingi kebanyakan penyanyi muda kini.

DENDANGAN lagu-lagu hits malar segar Liza menjadi ‘sing along’ penonton yang hadir memenuhkan gelanggang Zep, Kuala Lumpur.

Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan susuk Haliza Hanim Abd. Halim disambut jeritan lebih 1,000 peminat, barangkali sudah sekian lama menantikan malam bersejarah itu berlangsung di depan mata.

Tampil sederhana, Liza hanya bertukar dua persalinan sepanjang konsert, namun busana rona merah dan hijau sentuhan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini menyerlahkan gaya elegannya.

Konsert berdurasi tiga jam itu cukup meriah malah tidak sedikit pun terbit rasa mengantuk atau berharap persembahan segera selesai.

Sorakan penonton bergema seawal penampilan menaikkan energi konsert.

LIZA Hanim 27 Years Journey In Concert, sebuah pentas sulung bukti keampuhan dan kredibiliti Liza sebagai penyanyi dalam kelas tersendiri sekali gus kekal relevan hingga kini. – AMIR KHALID / LH MEDIA

Malar segar

Bertemakan perjalanan karier seni seorang Liza Hanim, konsert berkenaan menyaksikan penyanyi tinggi lampai itu mempamerkan kehandalannya melantunkan deretan lagu dalam pelbagai genre, termasuk balada berat, pop dan lagu Inggeris.

Umpama membawa khalayak ke terowong masa, penyanyi berusia 56 tahun itu menyampaikan dendangan malar segar termasuk daripada album popularnya, Puteri Jelmaan.

Antara repertoire persembahan adalah Imaginasimu (Hey Liza!), Dunia Cinta, Getaran Cinta Di Jiwa diikuti seleksi hitsnya yang pernah mencipta fenomena sendiri seperti Cintailah Aku Sepenuh Jiwa, Lepas Biar Bersebab, Bahtera Cintamu dan Izinkan Ku Berlalu.

Pemenang Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) itu melantunkan 34 dendangan termasuk seleksi daripada album sendiri dan beberapa lagu ‘cover’ penyanyi lain.

Diiringi barisan pemuzik handal, Leman Band bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Chaan, Liza meneruskan kehangatan konsert dengan alunan melankolik seperti Kata Hati, I Love You, Ku Idamkan Rindu dan Biarkan Aku Merinduimu.

Tidak memberi penonton berehat walau sejenak, Liza berjaya membuat audiens tidak senang duduk dek mahu bangun melambai tangan menikmati alunan galau mereka menerusi dendangan Sepanjang Ku Menyintaimu, Kerana Terlalu Menyintaimu dan Puteri Jelmaan.

BERNUANSA balada berat meruntun jiwa seiring kentalnya suntikan variasi teknik vokal, Liza berjaya membekalkan satu perasaan indah tanpa sedikit pun mencetuskan rasa bingit sewaktu konsert sulungnya pada 4 Februari lalu.

Segmen khas

Meneruskan energi konsert di skala kemuncak, malam gemilang itu diteruskan dengan segmen yang didekasikan khas buat lagenda tersohor tanah air, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Liza berjaya membuat sekian ramai penonton mengalirkan air mata usai bait pertama lirik lagu Di Manakan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Istana Cinta dinyanyikan. Jujur, penulis meremang, gemersik suaranya seperti merintih rindu buat yang tiada.

Seiring sayunya alunan lagu, turut terpancar di skrin LED kompilasi foto tribut buat semua insan yang telah ‘pergi’ meninggalkannya termasuk Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Adibah Noor, Siti Sarah, Bad Indigo dan ahli keluarga terdekatnya.

Tidak hanya itu, ibu kepada lima cahaya mata itu gagal menahan sebak ketika menyanyikan lagu Tiada yang ditujukan khas kepada arwah bapanya, Allahyarham Abd. Halim Abdul Razak.

“Lagu ini dekat di hati saya. Gubahan saya sendiri dan lirik ditulis Fedtri Yahaya.

“Tahun 2019 adalah momen paling menyedihkan buat saya kerana pemergian ayah. Dia orang yang bertanggungjawab menjadikan saya Liza Hanim.

“Saya sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak menangis ketika menyanyikan lagu ini tapi saya gagal, terlalu sebak. Saya tidak pernah dapat selesaikan lagu ini tanpa menangis, liriknya terlalu dekat,” ujarnya selepas menyanyikan lagu tersebut.

Tetap profesional, Liza meneruskan persembahan dengan lagu Sejuta Maaf dan selepas itu mendendangkan Bahagiakan Dia duet istimewa bersama puteri sulungnya, Marsya Qistina.

Ingin memberikan pengalaman buat anaknya itu, Liza meninggalkan pentas konsert sejenak bagi memberi laluan kepada puterinya mempamerkan bakat dengan menyanyikan lagu Temanku Tersayang secara solo.

Seperti tidak pernah terusik dek zaman, kelunakan lenggok vokal Liza tetap berbisa seperti awal kemunculannya sekitar lebih 25 tahun lalu.

Stamina, energi memuncak

Mendendangkan lagu yang hampir keseluruhannya bernada tinggi, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 2003 itu tidak sedikitpun menunjukkan rasa kepenatan mahupun semput meskipun mengakui keadaan dirinya bukan dalam keadaan terbaik.

Kehangatan konsert diteruskan seiring sokongan penuh peminat yang sejak awal bersorak demi idola mereka dengan lagu Bebas, Hadir Dirimu, You Don’t Add Up dan Best Of You.

Liza menukar mood penonton saat menyanyikan lagu yang sinonim dengan drama Natasha, Merawat Luka Terpendam, sekali gus membuatkan emosi audiens terus berkecamuk.

Mood sama diteruskan dengan lagu Lara, Semilir dan Siapa Sangka Siapa Menduga sehingga ada penonton mengalirkan air mata.

Tidak berundur tanpa lagu wajib, Andainya Aku Bersuara, Ku Teruskan dan Gelisah Mimpi sebagai seruan buat semua yang pernah merasai retaknya hubungan cinta, suara penonton ikut menyanyikan bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa tersebut.

Menutup persembahan dengan lagu ‘cover’ My Heart Will Go On, suara anak bongsu daripada lima adik-beradik itu mendayu-dayu sesekali kedengaran sebak barangkali teringat momen indahnya ketika berentap di pentas akhir All Stars Gegar Vaganza.

Tiada frasa yang dapat melukis gambar malam bersejarah itu selain istilah ‘hebat’. Meskipun berlaku beberapa masalah teknikal seperti mikrofon tidak berfungsi langsung tidak mencacatkan persembahan, lawak jenaka Liza mengaburi kesemua itu. Tidak hairan ramai rakan selebriti enggan melepaskan peluang mengikuti malam bersejarah itu seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Jaclyn Victor, Marsha Milan dan Noryn Aziz.

SEBAK menahan rasa, Liza berharap konsert sulungnya tidak menjadi pentas terakhir. Dia mahu menjayakan lebih banyak konsert selepas ini.

 

DENDANGAN lagu-lagu hits malar segar Liza menjadi ‘sing along’ penonton yang hadir memenuhkan gelanggang Zep, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN