fbpx
Merupakan seorang bukan Islam, perniagaan makanan kecil-kecilan yang diusahakan pempengaruh popular, Abby adakalanya ditohmah netizen yang mendakwa berdosa makan masakan jualannya sedangkan Abby mengusahakan gerai makan itu bersama teman lelakinya yang beragama Islam, Hazwan Adrey dan bakal berkahwin tak lama lagi.

‘Ada yang doa bisnes gerai makan saya lingkup’ – Abby

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEMAR memuat naik content (kandungan) bersahaja mengenai perkara yang sering dilalui oleh orang ramai membuatkan nama gadis ini tiba-tiba dikenali.

Bagi yang mempunyai akaun TikTok, anda pasti tidak terlepas dengan sorotan FYP (For Your Page) berkenaan video-video dilakonkan oleh gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini,  Elyshia Abegail Anak Bonny atau lebih dikenali sebagai Abby.

Paling menarik perhatian adalah sebuah video yang memaparkan Abby menjawab satu soalan daripada netizen mengenai makanan dijualnya.

Persoalan yang diutarakan, adakah berdosa seorang Muslim makan makanan yang dimasak dan dijual oleh bukan Islam?

Abby yang merupakan penganut Kristian memberi jawapan yang ‘cukup padu’. Dia menyatakan segala jenis juadah dijualnya, dimasak oleh kekasihnya yang beragama Islam.

Video tersebut mendapat tontonan lebih daripada 1.5 juta kali dengan 1,800 komen menyebelahi Abby.

Netizen menyifatkan tohmahan yang cuba dilemparkan kepada Abby bersifat rasis.

“Kalau anda pernah tengok video saya, apa yang saya muat naik semua ada kaitan dengan hidup kita ketika ini.

“Tak kisahlah mengenai kehidupan sebagai seorang pekerja, pelajar atau sesiapa sahaja.

“Semua dalam video itu saya lakonkan secara spontan.

“Mereka (netizen) gemar menonton dan mengaitkannya dengan dunia moden sekarang ini,” ujarnya kepada Aura.

Akui Abby, dia tidak pernah menyangka, video yang dimuat naik kerana kebosanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan beberapa tahun lalu diterima ramai.

“Jika ditanya sebab menjadi pempengaruh, ia atas dasar minat.

“Saya suka berjumpa dengan orang baharu dan ia merupakan kerja yang sangat menyeronokkan.

“Titik tolak sebenar saya mula serius memuat naik kandungan adalah ketika masih belajar di Universiti Malaya beberapa tahun lalu,” katanya.

Selain membuat kandungan berunsur POV, Abby juga sering berkongsi kehidupan sehariannya, selain bisnes roti mantau bersama sup cendawan dan kerang buttermilk diusahakannya.

Abby yang mempunyai hampir 1 juta pengikut di media sosial memiliki perwatakan sangat ceria.

Bagaimanapun, Abby tidak terlepas daripada kecaman daripada para netizen.

Katanya, cabaran selalunya datang dari mulut orang yang tidak faham dengan kandungan dimuat naiknya.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ada juga yang kritik kelemahan saya iaitu fizikal.

“Kritikan seperti itu saya terima setelah menjadi pencipta kandungan dan pempengaruh.

“Seperti insan lain, saya tidak dapat menutup mulut orang dan kritikan itu akan selalu ada, tidak kira kita buat baik atau buruk.

“Saya gembira dengan rezeki yang diberikan Tuhan ketika ini.

“Pada saya, tiada faedah saya dapat jika melayan mulut jahat orang di luar sana,” katanya.

ABBY (tengah) bersama ahli keluarganya ketika konvokesyen Universiti Malaya beberapa tahun lalu.

Akui anak sulung berusia 28 tahun itu, ada juga yang mendoakan bisnes makanan kecil-kecilan diusahakannya itu lingkup.

Malah, dia pernah menerima pelbagai ugutan daripada pihak tidak dikenali.

“Ini semua saya terima kerana saya bekerja dalam industri yang agak public dan terkehadapan.

“Justeru, saya percaya cemuhan akan sentiasa ada.

“Itu adalah perkara normal dan sudah menjadi asam garam sebagai seorang pencipta kandungan,” katanya.

Selain fokus pada kerja-kerja merakam, menyunting dan memuat naik kandungan, Abby dan pasangannya, Hazwan Adrey Rumaizi bakal meluaskan perniagaannya selepas ini.

Katanya, dia tidak pernah menyangka perniagaan makanan secara kecil-kecilannya yang diusahakan akan mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Kami bersyukur dengan sambutan diberikan.

“Sambutan diterima memang di luar jangkaan kami terutama daripada orang Islam.

“Biarpun sebelum ini pernah timbul isu bukan Islam (dirinya) menjual makanan, namun ia tidak halang orang ramai membelinya.

“Jika tiada halangan, kami berdua akan membuka sebuah kafe di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai (Negeri Sembilan) tidak lama lagi.

“Kami akan membuka kafe kecil yang menjual nasi berlauk untuk pelajar dan staf di USIM.

“Kami ingin pelajar yang jauh daripada keluarga merasai makanan home made bagi mengubat rasa rindu pada kampung halaman.

“Doakan bisnes kami berjalan lancar. Jika tiada halangan, kami akan mulakan operasi pada pertengahan bulan ini,” katanya.

AKAUN TikTok Abby memiliki jumlah pengikut hampir 1 juta.

Ditanya sebab memilih menjadi usahawan dan berniaga makanan sedangkan mempunyai ijazah dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Malaya, dia mempunyai jawapan tersendiri.

Ujar Abby, dia langsung tidak pernah menyesal dengan keputusan memilih bidang perniagaan dan bergelar usahawan.

“Saya langsung tidak pernah menyesal berniaga di gerai makanan, walaupun mempunyai pendidikan tinggi.

“Bagi saya, pendidikan amat penting dan ia bukan jaminan untuk mendapat pekerjaan mengikut bidang yang kita ambil semasa di universiti.

“Buat masa ini, biar saya berniaga dahulu.

“Namun, kalau ada rezeki dalam bidang pendidikan sebagai guru bahasa Inggeris pada masa depan, saya akan fikirkan kembali,” katanya.

Abby memberitahu, buat masa ini, dua kerja tersebut diberi keutamaan utama, selain tidak menolak untuk berlakon jika diberi peluang.

“Saya pernah berlakon di bawah naungan Astro, tetapi rezeki berlakon belum ada lagi dan tidak begitu berpihak kepada saya ketika ini.

“Namun, saya masih giat dengan penggambaran untuk iklan, kempen-kempen dan sebagainya,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Abby berhasrat untuk berkahwin awal dan mahu memberi yang terbaik buat keluarganya.

“Kestabilan kewangan adalah keutamaan saya ketika ini.

“Saya hanya mahukan keselesaan untuk keluarga saya.

“Saya juga mungkin akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

“Saya tidak berasa tertekan untuk mempercepatkan perkahwinan.

“Mengenai isu masuk Islam dan jadi saudara baharu, itu sudah tentu kerana kekasih saya seorang Muslim.

“Apapun, tolong doakan semoga urusan kami (nikah) dipermudahkan.

“Saya percaya, semua yang baik akan hadir sendiri apabila masanya sudah tiba.

“Kita sebagai manusia, perlu lakukan yang terbaik dan selebihnya serahkan kepada Dia,” katanya sambil menyeru wanita di luar sana supaya tidak mudah menyerah kalah dan terlalu bergantung kepada orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN