IMPIAN penyanyi Siti Nordiana untuk menghadiahkan peminat setianya dengan sebuah pelamin konsert solo sempena keraian 25 tahun perjalanan seni bakal terlestari pada Mei depan.
Lebih dua dekad mengabadikan diri sebagai anak seni bukanlah satu tempoh yang singkat buat figura bernama Siti Nordiana atau mesra disapa Nana.
Memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun, kredibilitinya sebagai penyanyi tidak perlu dipertikaikan lagi, ditambah pula dengan puluhan trofi anugerah diraihnya sekali gus meletakkan Nana dalam liga tersendiri.
Namun, 25 tahun bergelar penyanyi bukanlah jalan mudah buatnya untuk memiliki sebuah konsert solo berskala besar.
Dalam melestarikan impian, banyak dugaan dan momen penolakan dihadapinya. Segala penat lelah akhirnya terbayar menjelang 11 Mei depan dalam sebuah majlis persandingan gilang-gemilang.
Berkahwin? Benar tetapi jangan panik kerana pasangannya bukan lelaki idaman sebaliknya ribuan peminat yang akan hadir pada acara tersebut.

Konsert solo
“Sudah lama saya menanam hasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar.
“Bukan sahaja saya tetapi peminat yang menyokong sejak hari pertama bergelar penyanyi juga turut menanti detik istimewa ini.
“Akhirnya penantian saya selama 25 tahun untuk muncul dalam sebuah konsert solo bakal terlaksana iaitu Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 11 Mei depan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Anggun menyarung gaun pengantin berona putih, anak kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, acara tersebut merupakan detik istimewa yang akan diraikan bersama-sama para peminat setia.
“Konsert ini terlalu istimewa kerana akan menjadi ‘pelamin’ khas untuk saya raikan kerjaya bersama peminat yang sentiasa memberi sokongan.
“Sebab itu kami kami memilih tema perkahwinan kerana bakal menjadi hadiah buat peminat. Jangan salah faham ya semua,” tutur pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu.
Ujarnya, lebih 20 buah lagu bakal didendangkan pada malam tersebut yang dipetik daripada tujuh buah album solonya.
Antara lagu hits yang bakal dinyanyikan pastinya Memori Berkasih, Cinta Hanya Sandaran, Paling Comel dan Hatiku Milikmu.
“Sangat sukar sebenarnya nak buat pemilihan senarai lagu dan saya memang berharap agar orang ramai membantu serta memberi cadangan mengenainya.

“Selain cadangan ramai, saya juga akan mendendangkan lagu-lagu yang sudah lama tidak diperdengarkan kepada umum seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit dan lagu Kasihmu Seakan Berubah,” jelasnya.
Bakal menyanyikan puluhan lagu pastinya mencetuskan tanda tanya mengenai kondisi peti suaranya yang sebelum ini pernah mengalami masalah selepas beberapa kali dijangkiti Covid-19.
Kongsi Nana, keadaan vokalnya sudah menunjukkan perubahan positif selepas melalui beberapa pemeriksaan doktor dan pengambilan ubat-ubatan.
“Syukur masalah peti suara saya semakin pulih daripada sebelum ini. Tidak dinafikan, masalah suara atau kesihatan memang menjadi kerisauan seseorang penyanyi terutama menjelang konsert.
“Namun syukur selepas setahun makan ubat dan menghadiri kelas vokal, sepertinya tiada sebarang masalah akan berlaku untuk konsert nanti.
“Semoga semua yang dirancang dan kesihatan juga sentiasa dalam keadaan baik. Doakan semuanya berjalan dengan lancar ya semua,” katanya lagi.

buatnya.
Harapan, lali
Sempat diusik mengenai perkahwinan, wanita yang pernah membintangi drama Semanis Honey itu bertegas, masih belum ke fasa tersebut sebaliknya lebih selesa fokus terhadap kerjaya seni.
Tidak aneh jika Nana kerap dilayang soalan sebegitu selepas hampir 13 tahun menjalani hidup sendirian tanpa kehadiran susuk lelaki bergelar suami.
Dia bahkan sudah lali menjawab soalan berkaitan jodoh. Jawapannya tetap sama iaitu belum bertemu pasangan sesuai sehingga kini.
“Perkahwinan buat masa sekarang ialah dengan kerjaya seni sahaja.
“Sebenarnya saya tidak kisah jika orang asyik bertanya hal sama. Jawapan saya tetap sama iaitu belum ada calon.
“Namun kita tidak tahu soal jodoh. Mungkin atas berkat doa peminat, saya akan bertemu seseorang tahun hadapan,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Sementara itu, memikirkan persepsi negatif segelintir pihak yang kurang senang melihatnya menggunakan gimik perkahwinan bagi mempromosikan konsert solonya.
Katanya, perkahwinan hanyalah simbolik keakrabannya bersama peminat setia.
“Saya tidak rasa risau pun sekiranya ada yang mengecam. Apabila kita terangkan, saya pasti para netizen akan faham bahawa konsep yang dipilih adalah perkahwinan dengan peminat.
“Ini adalah kelainan yang kami pilih untuk konsert ditambah pula saya mempunyai peminat yang sangat sayangkan saya.
“Jadi, saya nak hadiahkan sesuatu yang istimewa buat mereka yang telah menyokong saya sejak tahun 1999,” tuturnya lagi.
Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 11 Mei 2024.
Tiket-tiket berharga RM188 (Paling Comel), RM288 (Memori Berkasih), RM308 (Mainan Cinta) dan RM4888 (VIP Box, 8 Pax Per Box) mula dijual sejak 2 Februari lalu.

















