SEMANGAT juang luar biasa ditampilkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika meraih pingat emas keirin pada Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia mendapat pengiktirafan ketua jurulatihnya, John Beasley.
Pada aksi final yang berlangsung di Adelaide Super-Drome kelmarin, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman memastikan kemenangan menjadi miliknya selepas mengetepikan cabaran dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota.
Beasley berkata, kejayaan yang dilakar Azizulhasni pada kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu memandangkan dia kembali dihimpit masalah jantung beberapa minggu sebelum kejohanan berlangsung.
Justeru, atas faktor tersebut, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran buat atlet berusia 36 tahun itu kerana menganggap tahap kesihatan dan kecergasan Azizulhasni lebih menjadi keutamaan.
“Amat menakjubkan, dia (Azizulhasni) belum cergas 100 peratus, tetapi masih mampu mencari jalan untuk mencatat kemenangan. Kekuatan dalaman serta kegigihan yang ditampilkan adalah satu perkara hebat.
“Azizulhasni seolah-olah ‘Superman’ apabila dia menyarung jersi Malaysia untuk berlumba. Kami mengharungi perlumbaan yang berbeza kali ini, tetapi perancangan kami membuahkan hasil.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian yang dilakukannya di sini walaupun tahap kesihatannya belum pulih 100 peratus. Saya harap tiada perkara tidak diingini berlaku kepadanya,” kata Beasley.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan perkembangan berhubung keadaan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis yang mengalami kemalangan pada pusingan pertama sehingga gagal menamatkan perlumbaan.
“Berhubung keadaan Fadhil, dia berada dalam keadaan baik, cuma mengalami bengkak pada badannya,” ujar jurulatih kelahiran Australia itu.














