Malah, saya juga agak terkejut apabila ada segelintir netizen yang mencadangkan untuk mewujudkan Facebook Page ‘Polis buat hal apa hari ini’ susulan kes melibatkan beberapa anggota PDRM yang dilaporkan kebelakangan ini.
Bagi saya perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana orang ramai nampaknya semakin hilang hormat kepada PDRM walaupun yang terlibat dengan salah laku itu hanya segelintir.
Perkara sama turut dipersetujui oleh Presiden Veteran Polis Malaysia, Datuk Hussin Awang Ngah yang tidak menafikan kemungkinan salah laku melibatkan segelintir anggota PDRM mendapat perhatian kerana penggunaan media sosial ketika ini.
“Secara peribadinya, saya juga terasa apabila melihat anggota polis yang terlibat dengan salah laku, apatah lagi masyarakat di luar sana. Kalau dahulu imej PDRM memang dipandang tinggi.
“Itu menunjukkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada PDRM, tetapi hari ini dapat dilihat dengan perederan masa kini, banyak kelemahan berlaku yang sebenarnya melibatkan segelintir anggota sahaja, tetapi seolah-olah mencemarkan imej PDRM,” katanya.
Justeru itu katanya, beliau menyokong penuh kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mahu pengurusan tertinggi PDRM bertanggungjawab dalam menyelia pegawai dan anggota polis secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi, saya melihat hari ini PDRM ini dilihat dijadikan sebagai satu tempat sekadar untuk mendapatkan pekerjaan sedangkan menjadi anggota polis adalah lebih dari sekadar pekerjaan. Kita memikul tanggungjawab yang cukup besar.
“Justeru, perlu ada strategi bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Cadangan saya kepada PDRM ialah pergiatkan lagi pemantauan sebagai contoh wujudkan peraturan di mana setiap bulan setiap anggota mesti melakukan ujian air kencing bagi mengesan dan mencegah penyalahgunaan dadah dalam
kalangan anggota misalnya,” ujarnya.
Selain itu, Hussin turut mencadangkan penggunaan ‘pocket book’ haruslah dipergiat supaya pemantauan dapat dilakukan terhadap setiap anggota yang bertugas.
“Bagaimanapun, itu berbalik kepada anggota itu sendiri. Sebelum kita melakukan sesuatu perkara, lihatlah uniform, apa yang dijunjung pada uniform itu. Apa sahaja yang anda lakukan, melibatkan pasukan, muhasabah diri semula.
“Kepada masyarakat pula, kita mesti ingat dalam satu organisasi bukan semuanya sempurna. Salah laku ini melibatkan segelintir anggota sahaja dan itu tidak melambangkan PDRM secara keseluruhan, masih ramai lagi anggota polis yang melaksanakan tanggungjawab mereka untuk masyarakat dengan penuh jujur dan ikhlas,” katanya.














