fbpx
LEBIH separuh dekad mencuba nasib dalam arena seni, bakat Silfeny Osman masih dipandang sepi, namun kepayahan yang dilalui bukan halangan buat aktres berstatus ‘datin’ itu berputus asa.

‘Adegan lalu-lalang pun saya buat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Silfeny Osman boleh dikatakan masih asing dalam kalangan kaki drama meskipun hadir dengan pakej lengkap sebagai pelakon. Sehingga kini, dia belum bertemu rezeki selayaknya.

Entah di mana silapnya, karier dan bakat pelakon berusia 32 tahun itu seolah-olah dipandang sepi dan tidak menjadi pilihan penerbit mahupun pengarah walaupun sudah hampir enam tahun meneroka dunia lakonan.

Menjual nama selain mempertaruhkan bakat barangkali mudah bagi segelintir selebriti lain mendaki puncak populariti, namun tidak buat Silfeny.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak meskipun sering dianggap sekadar tempelan dalam sesebuah naskhah menggalas watak tambahan, pemilik nama penuh Silfeny Mohd. Osman itu tidak lelah apatah lagi berputus asa.

MENGAKUI diri sendu meskipun sudah lebih enam tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air, Silfeny enggan berputus asa sebaliknya berusaha lebih keras untuk terus meraih rezeki ketentuan Tuhan.

Reda tidak dikenali

Dia sedar hitam putih kehidupan dan realiti tidak semua diimpikan bakal tercapai namun sebagai pelakon, dia reda selain sedaya upaya memberikan kualiti lakonan terbaik meskipun sekadar disua watak picisan.

“Biarlah orang kata saya hanya wajah penghias yang melengkapi mana-mana naskhah. Saya lihat itu dari sudut pandang positif, mungkin tanpa saya karya itu tidak lengkap dan dalam masa sama kualiti lakonan saya bermutu setara peranan utama.

“Saya hadir dalam industri dengan penuh minat, bukan sekadar jual muka tanpa sebarang kualiti bakat untuk dipertaruhkan. Jadi tidak mengapa dipandang sebagai muka pelakon tambahan asalkan saya sudah beri lakonan terbaik.

“Tiada guna juga wajah saya merata-rata di stesen televisyen tetapi tiada impak lakonan atau hasilnya tidak sampai ke hati penonton, itu saya tidak mahu,” ujarnya kepada HibGlam.

Mengakui tidak muak mengambil tawaran lakonan kendatipun hanya sehari dua melibatkan lima atau 10 adegan, wanita bermata bundar itu percaya perkara tersebut merupakan proses dan pengalaman berharga.

“Saya masih buat kerja lakonan yang hanya sehari dua hari, bagi saya ini segala-gala peranan meninggalkan momen tersendiri.

“Kadang-kadang watak kecil ini yang membantu menaikkan nama saya.

“Kalau saya hanya ada 10 babak, mungkin orang kenal saya melalui babak tersebut sahaja, pokok pangkalnya saya akan tetap komited dengan apa jua watak.

“Saya sedar diri dan ruang. Selagi saya boleh buat karakter tersebut, walaupun sekadar babak lalu lalang, saya tidak kisah, macam saya kata, semua itu proses dan sepak terajang dunia seni hiburan tanah air,” tuturnya merendah diri.

Masih dalam konteks kerjaya, penulis cuba memahami resah dialami bekas pramugari itu. Katanya, Dia menganggap tuah belum sudi mendakap dirinya.

DIDAKWA status diri bergelar datin membuatnya selektif, Silfeny tidak bersetuju malah menegaskan dirinya bukan memilih sebaliknya tidak dipilih. – IQBAL ROSLI

Status ‘datin’

Disoal, adakah statusDatin yang dipegang selepas berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Hazian Murad barangkali menjadi penyebab kegusaran sutradara memanggilnya berlakon, Silfeny menggelengkan kepala tanda kurang setuju.

“Kalau mahu kata ini sebagai isu, sebelum kahwin pun sama juga, seperti orang tidak nampak bakat saya.

“Selepas apa yang saya buat dalam industri seni mencuba nasib, saya masih Silfeny Osman yang sendu, dalam erti kata lain, tiada ada naskhah yang begitu gah disua kepada saya.

“Bila berkahwin dan kononnya ada status, sama juga. Tawaran tak begitu banyak, jadi isu saya menolak naskhah disebabkan status tidak benar,” ujarnya.

Pada masa sama, anak jati Pulau Pinang itu pelik mengapa ramai orang sekelilingnya beranggapan dirinya terlalu memilih naskhah sekali gus jarang muncul di kaca televisyen.

“Ramai tanya saya adakah saya cerewet menjadi penyebab kurang muncul dalam televisyen, tetapi jujurnya saya memang tidak mendapat banyak tawaran apatah lagi memilih.

“Saya bukan macam pelakon lain ada sahaja tawaran sehingga jadual penuh sepanjang tahun, tetapi tidak mengapa itu rezeki mereka, saya percaya akan ada bahagian saya di tempat lain,” tuturnya bersemangat.

Dalam masa sama, Silfeny sempat berkongsi tentang filem sulung dibintanginya berjudul Banglo Seksyen 12 arahan Intan Ladyana dan Dharma Nasution.

KAHWIN atau tidak, berstatus atau bukan, Silfeny tidak pernah aspek tersebut sebagai punca kurang meraih tawatan lakonan.

Banglo Seksyen 12

“Ini adalah pembabitan pertama saya dalam layar lebar yang baru ditayangkan, ada dua lagi filem lakonan saya tetapi sudah ditayangkan lebih awal berbanding naskhah ini.

“Filem ini bukanlah cerita yang ‘straight-forward’, banyak plot menarik membuat penonton berfikir apa sebenarnya berlaku, jadi lakonan saya juga harus setara dengan naskhah seberat itu, kena nampak semula jadi.

“Menggalas karakter Riena, banyak saya belajar di set antaranya menari, demi mengikut tuntutan watak. Saya memang curahkan segala teknik dan ilmu lakonan yang saya ada, filem ini memberi seribu pengalaman manis,” kongsinya.

Menggenggam seribu impian meskipun sudah reda berpasak dengan ketentuan takdir dan rezeki, jauh di sudut hati finalis Gadis Panca itu, dia berharap lakonannya dalam filem tersebut mampu melajukan tempo karier seninya selain membuka mata deretan sutradara.

“Saya masih belajar dan terus belajar perihal lakonan malah sudah curahkan segalanya dalam setiap watak dan naskhah digalas, saya terima segala respons tidak kira negatif mahupun positif.

“Tiada apa saya pinta selain orang nampak bakat saya tetapi saya memang percaya dengan konsep rezeki. Ada orang cepat, macam saya ini lambat sikit tetapi tidak mengapa, itu semua pemangkin untuk saya terus berusaha mengukir nama,” ujarnya menutup bicara.

Edaran Metrowealth, Banglo Seksyen 12 yang dibintangi pelakon hebat seperti Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon, Aniq Suhair, Hariz Hamdan dan Faez Malek sudah pun ditayangkan di pawagam bermula hujung Januari lalu.

SILFENY kini muncul dengan filem seram Banglo Seksyen 12 yang merupakan pembabitan pertamanya dalam naskhah layar perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN