fbpx
HARIMAU MALAYA tewas dalam dua aksi menentang pasukan dari Asia Barat iaitu Jordan dan Bahrain pada aksi peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Qatar sebelum ini. - AFP

Fizikal penghalang besar di Piala Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMPEN Piala Asia 2023 di Qatar kali ini menyaksikan skuad Harimau Malaya gagal menepati sasaran mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas berdepan dua kekalahan dan satu seri untuk mengumpul satu mata.

Situasi berkenaan mencetuskan reaksi pelbagai daripada banyak pihak sama ada yang mengkritik atau terkesan dengan aksi penuh semangat luar biasa ketika skuad kendalian Kim Pan-gon mengikat Korea Selatan 3-3 pada perlawanan terakhir, pasti akan memuji.

Projek naturalisasi dan membawa masuk pemain berstatus warisan bermula sejak 2018 dan Piala Asia kali ini boleh dianggap sebagai pentas tertinggi pertama untuk menguji keberkesanan proses berkenaan.

Namun, bak kata pepatah Inggeris, ‘Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari’ dan itu bermakna proses berkenaan harus terus berjalan, tetapi pastinya memerlukan penambahbaikan pada setiap masa.

Saingan Kumpulan E nampaknya tidak mudah untuk pasukan negara yang kali pertama layak secara merit selepas 44 tahun, apabila perlu berdepan Korea Selatan dan dua lagi pasukan pasukan dari Asia Barat, Jordan dan Bahrain.

Ketika Korea Selatan dianggap paling mencabar, situasi sebaliknya berlaku apabila Harimau Malaya terkulai di kaki Jordan dan Bahrain dalam dua perlawanan awal yang menutup terus peluang skuad negara untuk melakar kejutan kali ini.

Di mana silapnya untuk dua aksi awal itu? Ia masih lagi menjadi tanda tanya, namun secara peribadi penulis percaya faktor fizikal menjadi salah satu punca kekalahan apabila pemain negara tidak mampu menyaingi susuk tubuh pemain kedua-dua negara itu.

Dalam saingan Piala Asia kali ini, beberapa negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia dianggap memiliki saiz fizikal yang lebih kurang sama.

Berdasarkan keputusan perlawanan, pasukan-pasukan yang dinyatakan tersebut semuanya berdepan kesulitan apabila menentang pasukan dari Asia Barat termasuk Thailand yang hanya mampu terikat tanpa jaringan menentang Arab Saudi dan Oman.

Indonesia dan Vietnam juga masing-masing tewas berdepan Iraq, malah Hong Kong yang diundi bersama Emiriyah Arab Bersatu, Palestin dan Iran terpaksa pulang tanpa sebarang mata apabila tewas kesemua tiga perlawanan.

Malah, Jepun yang dianggap jaguh Asia juga tewas berdepan Iraq, manakala Korea Selatan akur dengan keputusan seri menentang Jordan.

Justeru, apakah situasi ini menunjukkan tidak ada peluang untuk skuad negara menewaskan negara-negara ‘pak Arab’ ini? Jawapannya ada.

Mengubah bentuk fizikal pemain bukan kerja yang mudah, tetapi memantapkan kemahiran individu bukan kerja yang mustahil, malah setiap pasukan juga memiliki peluang seimbang untuk merancang taktikal yang terbaik tanpa mengambil kira faktor yang dinyatakan itu.

Sekiranya anda memiliki sumber yang terhad, proses mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan segala kekurangan yang ada pastinya menjadi jalan terbaik untuk mendapatkan kejayaan yang diinginkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN