PERSIAPAN Harimau Malaya sebelum meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 akan menjadi lebih lengkap sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu mengatur persahabatan dengan pasukan lebih kuat.
Harimau Malaya perlu lebih konsisten bertemu lawan lebih berkualiti, sekali gus memberikan gambaran jelas kepada pengendali pasukan, Kim Pan-gon dalam menyiapkan skuad terbaik bagi mengejar enam lagi mata penting untuk layak sekali lagi ke Piala Asia secara merit.
“Kalau boleh dapatkan dua atau tiga lagi perlawanan persahabatan yang boleh berikan kekalahan kepada Harimau Malaya. Kita kena lawan pasukan yang boleh kalahkan kita, bukannya pasukan yang kita boleh menang.
“Daripada situ jugalah kita boleh belajar. Contohnya lawan Argentina, kalau ada pemain kita mampu gelecek lepasi pemain mereka, ia juga sudah cukup untuk tingkatkan moral pemain.
“Bukan bermaksud untuk menyekat kegembiraan penyokong dan saya juga rasa Pan-gon adalah individu sesuai untuk teruskan perjalanan pasukan. Tetapi dia kena jadi orang kuat untuk terima kritikan,” kata Exco Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Sulaiman Hussin.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan badan induk itu sudah merangka persiapan buat Harimau Malaya sebelum dua aksi bertemu Oman pada Mac ini.
Katanya, aksi dengan pasukan ranking ke 74 dunia itu bakal menjanjikan cabaran baharu kepada skuad negara dalam usaha layak ke Piala Asia 2027 secara merit.
“Walaupun kita sudah ada enam mata, kita mesti mencuri (satu) mata daripada dua perlawanan menentang Oman. Sekurang-kurangnya seri ataupun satu menang dan satu kalah kerana kita tidak boleh kalah dalam kedua-dua pertemuan.
“Kalau itu terjadi, kita ada risiko tinggi apabila menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan Taiwan di laman sendiri nanti. Kita perlu cuba untuk layak lebih awal, sekali gus dapat konsisten beraksi di Piala Asia,” katanya.
Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan-gon lulus ujian awal apabila meraih mata penuh dalam dua aksi awal Kumpulan D, tewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan menang 1-0 ke atas Taiwan.
Justeru, FAM bercadang mengadakan kem latihan kebangsaan sama ada di dalam negara atau berkunjung ke Emiriyah Arab Bersatu dalam misi mencipta sejarah layak secara merit ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
“Daripada tiga perlawanan di Piala Asia, boleh dikatakan Pan-gon ada banyak kerja rumah yang perlu dilakukan. Pertamanya adalah tingkatkan psikologi pemain kerana tidak boleh ada lagi isu gagal serap tekanan.
“Gunakan pengalaman di Piala Asia sebaik mungkin dan baiki kelemahan yang ada. Jika momentum lawan Korea Selatan dapat dikekalkan, mungkin kita boleh dapat keputusan positif lawan Oman,” kata Sulaiman.














