PETALING JAYA – Ceti haram atau along kini semakin berani melakukan ugutan semata-mata mahu menuntut hutang apabila turut menjadikan jiran-jiran kepada peminjam wang tidak berlesen sebagai sasaran terbaharu.
Sindiket along ini bukan hanya merosakan harta benda dengan menyimbah cat, malah mereka juga tanpa berselindung membuat ugutan termasuk mengancam untuk membakar rumah jiran terbabit.
Tidak cukup dengan itu, along terbabit turut bertindak memberi amaran kepada mangsa agar mengingatkan jiran mereka untuk segera membayar hutang.
Menurut mangsa yang tinggal di sebuah taman perumahan di Gombak, kejadian tersebut sangat menakutkan dan berpunca daripada jiran mereka yang berhutang dengan along.
Berkongsi pengalaman menakutkan itu, Muzammil Abdullah, 32, berkata, dia tidak menyangka tindakan jirannya yang berhutang dengan sindiket along menyebabkan nyawa seluruh keluarganya terancam.
Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi di Taman Selaseh itu membuatkan dia dan keluarga trauma apabila sebuah kereta jenis Proton Iriz miliknya selain pekarangan rumah disimbah cat merah oleh sindiket along.
Muzammil yang bertugas sebagai wartawan dan penyampai berita di sebuah media tempatan memaklumkan, keluarganya turut menerima ugutan menerusi sekeping nota yang diselitkan di pagar rumah.
“Selain kawasan depan rumah dan kereta isteri yang disimbah cat, kami juga terima ugutan daripada along bahawa mereka mahu bakar rumah kami.
“Ia seperti satu desakan untuk keluarga saya memaksa keluarga peminjam (jiran) bagi melunaskan segera hutang yang ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Muzammil, peminjam yang juga jirannya sudah lama berpindah keluar dari rumah tersebut, namun beberapa ahli keluarganya masih tinggal di kediaman tersebut.
Tambahnya, peminjam terbabit dikatakan sudah lebih tiga tahun terjerat dengan kes along dan sepanjang tempoh itu juga, dia serta beberapa penduduk lain terkena tempias serangan kumpulan ceti haram.
“Tak silap saya kejadian ini kali ketiga berlaku. Cuma ini pertama kali melibatkan jiran selain keluarga peminjam.
“Sebelum ini rumah saya ada terkena simbahan cat, tetapi tidak seteruk kali ini.
“Ada juga kereta jiran kami turut disimbah cat dan pagar rumah peminjam serta kereta adik juga disimbah cat tanda protes along kerana gagal menuntut hutang daripada peminjam,” kongsinya.
Sehubungan itu, Muzammil berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan meminta agar kes seperti ini dipandang serius oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melibatkan individu tidak bersalah dan menjadi mangsa ugutan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang giat dilakukan termasuk menghantar unit forensik ke lokasi.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai nasib beberapa keluarga yang terpaksa menanggung rugi akibat perbuatan jiran mereka yang disyaki berhutang dengan sindiket along.
Menerusi perkongsian @Nadiazaman di aplikasi X, kelihatan beberapa kenderaan telah disimbah cat berwarna merah.
Selain itu, along turut memberi amaran kepada penduduk di situ menerusi sekeping kertas bertulis tangan agar berusaha mengingatkan jiran mereka untuk segera membayar hutang.














