fbpx
Kampung Bukit Kapar di Klang boleh disifatkan sebagai hab gasing di Selangor kerana terdapat tiga pengusaha pembuatan gasing, mercu tanda gasing selain memiliki gelanggang sendiri dan anak-anak mudanya terus mewaris kecintaan terhadap permainan tradisional itu.- Foto Saddam Yusoff

Kampung Bukit Kapar hab gasing Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BONGKAH kayu jenis keranji diukur bagi mendapatkan bahagian tengah yang seimbang dan ditarah sebelum diletakkan di dalam mesin pelarik.

Sebelum mesin dihidupkan, Mohd. Aziz Samsudin, 63, memahat sedikit kayu tersebut untuk memudahkan proses pembuatan gasing.

Sebaik sahaja mesin pelarik diputarkan, gasing mula dibentuk dengan menggunakan mata larik.

Setelah selesai, badan gasing dilicinkan dengan menggunakan kertas pasir sebelum dikeluarkan dari mesin tersebut. Kemudian, bahagian tengah gasing ditebuk dan dipasang dengan paku yang berfungsi sebagai paksi agar putaran gasing tahan lama.

Akhir sekali, gasing tersebut disembur dengan cat bagi memastikan kualiti kayu tidak mudah merekah. Itulah sebahagian proses membuat gasing tradisional.

Lelaki yang mesra dipanggil Wak Ajis itu merupakan salah seorang daripada tiga orang pembuat gasing pangkah tradisional di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor.

Menurut Wak Ajis, gasing pangkah tradisional boleh dibuat dalam pelbagai bentuk tetapi saiznya harus sama.

“Setiap gasing tradisional memiliki bentuk mengikut kesesuaian atau keselesaan pemiliknya, sama ada ketika dia membaling dan memangkah.

“Namun, saiz ukur lilit, ketinggian dan berat berada dalam lingkungan sama sekiranya diguna untuk bertanding,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

WAK AJIS menebuk bahagian tengah gasing untuk dipasang paku di bengkel miliknya
di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor. – FOTO Saddam Yusof

Untuk pengetahuan, selain kayu keranji, antara kayu sesuai untuk dijadikan gasing adalah kuran, kempas, tualang dan kara.

Berat bagi setiap gasing yang ingin digunakan untuk bertanding adalah antara 600 hingga 850 gram.

Ukuran ukur lilit bagi gasing adalah kira-kira 35.56 sentimeter (cm) untuk saiz besar dan 26.67cm untuk saiz kecil.

Sementara itu, ketinggian gasing yang dibahagikan kepada bahagian kepala, badan, patak dan taji itu adalah antara 10.16 cm sehingga 11.43 cm.

Ukuran bahagian paksi atau lebih dikenali taji harus di bawah 0.5 cm, manakala saiz terbaik adalah 0.2 cm.

Sebagai pelengkap, tali kapas berukuran kira-kira tiga meter digunakan bagi melilit gasing.

Lelaki yang pernah bertugas dalam bidang kejuruteraan selama lima tahun di Arab Saudi itu berkata, cabaran terbesar masa kini adalah mencari kayu sesuai.

“Sukar mendapatkan kayu sesuai untuk membuat gasing pangkah tradisional di Selangor.

“Oleh itu, kami sering membeli bongkah kayu dari Pahang.

“Di Pahang, kebanyakan daerah masih aktif bermain gasing pangkah tradisional. Kami merupakan satu-satunya di Selangor,” ujarnya.

GELANgGANg ini digunakan oleh penduduk Kampung Bukit Kapar untuk bermain gasing pangkah tradisional.

Biarpun permintaan bagi pembuatan gasing tidak serancak dahulu, namun Wak Ajis masih menerima tempahan pembuatan gasing sebagai cenderahati.

Antaranya, tempahan daripada sebuah syarikat pemaju perumahan yang menempah sebanyak 500 biji gasing untuk diberikan kepada pembeli rumah mereka.

Tidak sama seperti gasing pangkah tradisional, kayu yang digunakan dalam pembuatan gasing cenderahati adalah berkos rendah mengikut permintaan pelanggan.

Mengulas mengenai golongan pelapis, lelaki yang kini bekerja secara persendirian itu menarik nafas lega apabila terdapat golongan muda yang menunjukkan minat terhadap seni pembuatan gasing.

“Permainan gasing merupakan satu aktiviti tradisi di kampung ini sejak zaman dahulu. Ia disambut baik oleh generasi muda kami.

“Namun, minat terhadap seni pembuatannya masih kurang. Namun, saya gembira apabila ada anak muda cuba membuat gasing mereka sendiri,” jelasnya.

Salah seorang anak muda itu ialah Muhammad Shahrul Azuwan Mohd. Mansor, 26, mula belajar mengenai asas pembentukan gasing.

Minat anak muda itu terhadap seni pembuatan gasing bermula apabila dia cuba membaiki sendiri gasingnya yang rosak untuk menjimatkan kos.

Antara kerosakan tersebut adalah keadaan paku yang senget dan rekahan pada badan gasing akibat dipangkah oleh lawan.

“Buat masa ini, saya pandai buat separuh sahaja dan masih perlu bantuan orang tua untuk selesaikan pembuatan gasing.

“Setakat ini, saya sudah berjaya menghasilkan 15 biji gasing untuk saya dan rakan-rakan.

“Namun, gasing itu bukan untuk digunakan pada sebarang kejohanan,” katanya.

Regu pemain gasing pangkah tradisional terdiri daripada empat orang pemain utama dan seorang pemain simpanan.

Dalam satu perlawanan akan ada satu regu pemangkah dan regu pemusing beserta dua orang pengadil.

Pihak pemangkah harus memangkah gasing lawan keluar dari gadai (kawasan bertanda bulat di tengah gelanggang) dalam masa empat saat.

Kongsi Shahrul lagi, tahap ligat gasing berpusing bukan sepenuhnya bergantung pada gasing sahaja, sebaliknya dipengaruhi juga dengan keadaan tanah.

Sebagai contoh, tanah di kawasan Bukit Kapar, Selangor yang lembap dan memerlukan gasing lebih ringan untuk bergerak ligat. Manakala, keadaan tanah di kebanyakan gelanggang gasing di Pahang keras, maka ia memerlukan gasing lebih berat.

“Setiap kali kejohanan, kami akan membawa lebih daripada lima biji gasing sebagai persediaan. Sebelum pertandingan bermula, kami akan menguji dulu tahap kelembapan tanah dan memilih gasing sesuai untuk kejohanan tersebut,” jelasnya.

Seorang lagi pelapis, Muhammad Ilyas Badrul Hisham, 25, berkata, permainan gasing merupakan aktiviti yang merapatkan anak muda dengan orang tua di kampung tersebut.

“Permainan gasing ini membuatkan kami mudah bergaul tidak kira usia dan sentiasa diajar cara untuk memantapkan lagi kemahiran.

“Aktiviti ini mengisi bukan sahaja mengisi masa lapang, malah memberi kepuasan setiap kali kami memasuki pertandingan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN