NAMA Fasha Sandha tidak pernah merudum dalam industri hiburan tanah air. Lakonannya daripada selembut-lembut watak sehinggalah ke peranan antagonis, semuanya dijiwai dengan sempurna.
Seiring gemerlapnya karier lakonan, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu tidak pernah sunyi daripada dihimpit kontroversi mahupun kecaman yang terbit dari bibir ramai netizen.
Meledak apabila drama lakonannya, Rampas Cintaku yang ditayangkan dalam platform IQIYI menjadi fenomena dengan 100 juta tontonan digital, lakonan aksi panas Fasha dalam Rampas Cintaku 2 sekali lagi mengundang kata nista netizen.
Kendatipun sering disua naskhah sebegitu yang sarat kontroversi dan melibatkan aksi ranjang, aktres berusia 40 tahun itu lebih daripada bersedia andai adegan digalas terlalu beraninya itu dikritik netizen.

Hanya ikut skrip
Ujar Fasha, dia hanya memenuhi kehendak skrip yang diamanahkan sutradara kepadanya selain menyifatkan watak Datin Safieya dalam naskhah terbabit sebenarnya sarat pengajaran.
“Setiap naskhah dihasilkan pasti punyai pengajaran tersendiri. Tugas saya adalah untuk menyampaikan mesejnya.
“Saya yakin babak panas dalam drama itu kelak akan diperkatakan tetapi terpulang kepada penonton, terima dari sudut positif atau negatif.
“Kalau babak sedemikian tular, saya anggap sahaja sebagai sebahagian daripada promosi drama terbabit. Saya memang harapkan cerita ini menjadi fenomena seperti musim pertama,” ujarnya tenang.
Tidak kisah dilabel kebulur perhatian kerana nama meledak disebabkan adegan sedemikian, isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu terbuka menerima pandangan umum sekali gus menganggap tohmahan dilempar sebagai lumrah pekerjaannya.
“Saya okey sahaja, tiada masalah dengan label yang orang berikan. Mereka bebas berkata apa pun.
“Saya hanya ikut skrip, sekadar lunaskan tanggungjawab sebagai pelakon. Saya buat bukan kerana orang lain, tapi untuk diri dan kerjaya saya. Datanglah sebanyak mana label yang orang berikan, saya tetap jadi diri sendiri.
“Lakonan adalah periuk nasi saya sejak berumur 18 tahun. Saya seronok dengan kerjaya ini. Terpulang kalau nak label saya pelakon ‘daring’. Saya tak akan sesekali melenting kerananya,” ujarnya panjang lebar.
Enggan berlama-lama dalam topik panas, Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2017 itu berkongsi keterujaan berpeluang menjalani penggambaran buat kali pertama dengan ratu cantik, Erra Fazira.

Erra Fazira
Pun begitu, meskipun impiannya tercapai untuk bergandingan dengan Erra Fazira, namun Fasha mengakui menyimpan rasa gugup untuk berkongsi set penggambaran dengan pelakon yang bergelar primadona filem Melayu alaf baharu itu.
“Saya akan rasa gugup setiap kali hendak ke set penggambaran drama ini. Malam pula susah nak tidur sebab esoknya nak jumpa Erra Fazira.
“Kami sebelum ini bukan tak pernah berjumpa, tapi bila berlakon bersama, lain perasaannya. Lagi pula, beliau adalah ratu dan primadona yang saya pandang tinggi.
“Saya pernah kelu, seolah-olah tidak berdaya mahu ucap dialog sebab terlalu gugup depan Kak Erra. Tapi beliau pelakon yang sangat baik, cukup memberi sokongan sekali gus memberikan aura positif di set penggambaran,” ujarnya menzahirkan rasa.
Ditanya adakah anak jati Pulau Pinang itu berlapang dada jika turut diberi julukan primadona, Fasha menggelengkan kepala dan berpendapat gelaran tersebut terlalu besar selain merasakan dirinya belum sampai ke tahap itu.
“Saya tak layak untuk gelaran itu. Julukan primadona terlalu besar untuk saya. Banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki dalam lakonan.
“Gelaran primadona datang dengan tanggungjawab selain kejayaan individu tersebut yang menyumbang kepada kelestarian industri hiburan tanah air.
“Tidak semua orang layak memegang title itu. Pada saya, Erra Fazira dan Ella, dua nama yang layak untuk gelaran primadona,” jelasnya.

Demi Datin Safieya
Kembali mengulas lanjut wataknya sebagai Datin Safieya dalam Rampas Cintaku 2, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui diminta sutradara untuk menurunkan berat badan dan meletakkan itu sebagai syarat dalam kontrak.
“Masa musim pertama dahulu, saya tidak langsung menjangka drama ini akan mendapat sambutan tetapi penerbit kata kalau naskhah ini ada musim kedua, saya kena kuruskan badan. Dia letak sebagai syarat dalam kontrak.
“Pada ketika itu saya rasa dia body shaming saya, memang rasa down, tetapi disebabkan itu, saya nekad dan ambil itu sebagai satu cabaran.
“Lagi pun, memang kena kurus untuk sihat, menjadi nilai tambah juga apabila senang pilih baju untuk berlakon,” ujarnya tersenyum.
Begitupun, pelakon yang sinonim dengan drama Natasha itu menzahirkan rasa syukur kerana masih ditawarkan pelbagai watak oleh deretan sutradara walau apa juga saiz badannya.
“Tapi alhamdulillah, saya berisi ke atau macam mana saiz saya pun, saya bersyukur sebab sentiasa diberi peluang oleh kebanyakan pengarah untuk menghiasi naskhah mereka.
“Maksudnya, walaupun dahulu ketika saya sedang chubby (berisi) pun mereka tetap panggil saya mungkin mereka percaya bakat saya lebih daripada saiz badan saya,” ujarnya menutup bicara.















