PETALING JAYA – Tekanan emosi dan trauma berpanjangan sehingga sanggup mencederakan diri antara kesan negatif yang terpaksa ditempuh segelintir pengguna media sosial yang menjadi mangsa kepada buli siber.
Lebih membimbangkan apabila ada antara mereka yang terpaksa bergantung kepada ubat selain mendapatkan rawatan doktor selepas disahkan menghidap penyakit mental.
Seorang wanita dikenali sebagai Syahirah, 22, berkata, kisah malangnya bermula apabila dia tersilap memberi komen pada hantaran yang dimuat naik rakannya mengenai satu isu kekeluargaan.
“Hantaran itu sebenarnya memperlekehkan trauma dihadapi rakan kami yang lain. Keadaan makin buruk apabila saya pula dikecam hebat pengguna laman sosial selain dipulaukan oleh rakan-rakan.
“Kejadian tersebut berlaku pada pertengahan tahun ini sehingga saya tidak boleh tidur seminggu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Syahirah yang juga penuntut kolej berkata, walaupun dia telah membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai insiden itu, namun kecaman tidak pernah berhenti.
“Paling teruk apabila saya mencederakan diri sendiri sehinggalah saya disahkan menghidap kemurungan,” jelasnya.
Berdasarkan Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), buli siber adalah satu perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa buli dikenali Hidayah, 22, berkata, tindakannya yang gemar memuat naik gambar dan nyanyian menyebabkan ada individu tidak berpuas hati dan sanggup menghinanya secara terbuka.
“Saya berasa kerdil dan takut untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Bila saya menutup aplikasi X, mereka ganggu pula rakan-rakan lain dengan tujuan untuk memalukan saya.
“Kejadian ini membuatkan saya trauma kerana bait-bait perkataan yang mereka lontarkan kepada saya sangat teruk seperti perkataan ‘sampah’,” ujarnya.
Bagi Najwa, 20, pula, trauma yang dialami bermula apabila salah seorang pengikut di Instagram menghantar gambar dengan pesanan berbaur lucah untuk mengajak hubungan intim dengannya.
“Dia menghantar pesanan kepada saya hampir setiap hari selama dua minggu dan walaupun saya menyekat akaun tersebut, dia masih nekad dengan membuka akaun baru.
“Selepas saya bercerita mengenai hal ini kepada orang sekeliling, keadaan makin teruk apabila saya pula yang dituduh bersikap miang.
“Setakat ini, tiada sesiapa yang membantu dan saya makin sukar untuk percayakan orang lain,” luahnya.
Situasi sama turut dialami seorang wanita, Maya. 29, apabila dia mendakwa pernah menerima ugutan bunuh hanya kerana pendapatnya tidak disukai oleh pihak lain.
Katanya, kejadian berlaku apabila dia memuat naik pendapat mengenai seorang artis sehingga ada pihak lain tidak berpuas hati dan mula mengecamnya.
“Ketika itu saya agak cemas dan segala butiran diri termasuk tempat saya berkerja juga dibongkar,” ujarnya.














