KUALA LUMPUR – YC Bersatu Biotech Sdn Bhd (YC Bersatu) pengeluar kicap dan sos berjenama Machi, menjadi syarikat pertama di negara ini yang menggunakan kaedah bioteknologi penapaian secara semula jadi bagi menghasilkan pengeluaran produkyang lebih sihat dan memiliki lebih protein berbanding produk biasa yang dihasilkan secara kimia.
Pengarah Urusannya, Kelvin Han Wei Jian berkata, melalui teknologi tersebut, ia dapat mengeluarkan produk berkualiti, bersih, tulen dan dalam masa yang sama masih mengekalkan rasa tradisionalnya.
Lebih menarik, jelas beliaujenama Machi telah mendapat sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain menerima sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan sijil Standard Audit Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP) kepada syarikat.
“Bersandarkan segala keperluan ini, kami telah berjaya meningkatkan keyakinan pelanggan untuk memilih produk keluaran.
“Produk ini telah berjaya menguasai pasaran makanan di dalam negara dan kini sedang dalam perancangan untuk dieksport,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran festival makanan berasaskan kicap di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini.
Machi kini terkenal dengan produk Kicap Pekat Hebat Campuran, Kicap Cair Premium Soya Pertama, Kicap Cair Stim Ikan Sifu dan Sos Cili Padi Sabah.
Wei Jian menerangkan, YC Bersatu juga telah mendapat dua pengiktirafan daripada TheMalaysia Book of Records iaitu First Soy Sauce Manufacturer To Achieve The Bio-Based Accelerator Status dan First Soy Sauce Manufacturer To Achieve “Bionexus Status.
Jelasnya, ini satu pencapaian yang membanggakan sekali gus ia bakal mengukuhkan lagi imej syarikat.
“Tahniah kepada pasukan penyelidikan dan pembangunan yang bekerja keras untuk memastikan soya yang dibancuh selama 180 hari untuk mendapatkan ekstrak yang terbaik dan berkualiti dalam pengeluaran kicap serta sos.
“Syarikat sanggup membuat pelaburan tinggi dalam teknologi penapaian untuk mendapatkan produk yang berkualiti kerana kicap sememangnya sudah menjadi satu keperluan buat kita.
“Kebanyakan masakan hari inimesti ada kicap.
“Kanak-kanak juga menyukai kicap, ada yang tak boleh makan kalau tiada kicap.
“Oleh itu kami sentiasa pastikan kicap dan sos keluarga syarikat adalah lebih sihat dan selamat untuk dimakan.
“Kami tidak akan sesekali bertolak ansur tentang kualiti dan prinsip syarikat kerana kami tidak akan menghasilkan kicap tiruan dan sos di pasaran,” jelas Wei Jian. -KOSMO! ONLINE
















