Kehidupannya ketika kecil dan remaja tidak sama seperti kanak-kanak lain. Gadis Pesona Ahad minggu ini, Nur Atika Jalil, 24, telah mula kenal erti mencari rezeki sejak berusia empat tahun.
Ketika itu, dia membantu datuknya menjual sayur-sayuran dari rumah ke rumah. Namun kesusahan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat anak ketiga daripada empat beradik ini.
Dibesarkan dalam keluarga yang bercerai membuatkan Nur Atika atau lebih dikenali Atyka sentiasa bersemangat. Kepada Kosmo! Ahad, gadis manis ini bercerita mengenai dirinya yang bergelar model seawal usia 16 tahun.
Kosmo! Ahad: Ceritakan sedikit mengenai Atyka?
Atyka: Seorang yang ceria, mudah terhibur dan family person. Jika di laman sosial, pengikut melihat saya sebagai seorang yang berperwatakan ayu tetapi sebenarnya saya lasak, suka bertukang, membaiki kereta dan panjat pokok.
Bekerja sejak usia empat tahun, kenapa?
Semuanya bermula ketika saya dan empat beradik lain tinggal bersama datuk di Kota Kinabalu, Sabah, manakala ibu bekerja di Kuala Lumpur. Ketika itu, ibu dan bapa sudah berpisah.
Ada satu ketika abang dan kakak sedang menduduki peperiksaan dan kami kesempitan wang. Jadi, saya menjual sayur-sayuran yang ditanam di kebun datuk dari rumah ke rumah.
Kehidupan kami tidak terurus sehinggalah ibu berkahwin lain dan membawa kami ke Kuala Lumpur. Saya bersyukur apabila bapa tiri dapat menerima dan membesarkan kami dengan penuh kasih sayang. Saya harga segala pengorbanannya.
Kenapa Atyka memilih untuk tidak sambung belajar?
Pada mulanya kerana kekurangan duit, saya mula bekerja ketika berumur 16 tahun selepas menerima tawaran sebagai model dan berlakon. Sambung pengajian, mungkin rezeki saya bukan di situ.
Permulaan Atyka bergelar model?
Semuanya ketika berusia 15 tahun, saya menemani rakan ke sesi fotografi sebelum jurufoto berkenaan menawarkan job sebagai model. Tidak hanya di situ saya diperkenalkan kepada jurufoto lain.
Bagi kerjaya lakonan, rezeki saya juga apabila berjumpa dengan jurufoto baik hati yang meminta saya mencuba sebagai pelakon. Setakat ini sudah lebih 15 drama dan paling terbaharu Epilog 3 Naga.

Apakah kejayaan terbesar Atyka?
Saya mampu membayar semua hutang keluarga dan menghadiahkan kereta untuk bapa.
Ciri-ciri suami idaman?
Lelaki itu boleh menerima saya dan keluarga. Seorang yang penyayang dan menyokong apa yang saya buat. Saya juga benci lelaki suka berkira, bercakap kasar, tidak menjaga adab, pengotor dan pemalas.
Perancangan masa depan?
Saya minat menyanyi dan berhasrat membuat ‘cover’ untuk dimuat naik ke laman sosial tetapi saya tidak mempunyai kemahiran mengenai peralatan nyanyian.
Jadi, saya menunggu tawaran. Demi masa depan, kini saya memulakan bisnes baju di Instagram (@tyca.official).
Tawaran tidak setimpal, tolak atau terima?
Sudah tentu tidak. Saya percaya setiap tawaran yang diberikan membuat saya belajar sedikit demi sedikit. Tak kiralah bayaran yang ditawarkan itu kecil mahupun besar, insya-Allah saya akan menerima dengan tangan terbuka.














